09 October 2022

"SAYA TIDAK PERNAH SEBUT SAYA LEBIH GEMBIRA AAFIYAH JADI AHLI POLITIK..." - SITI NURHALIZA TERKILAN TAJUK PORTAL HIBURAN



"Cuba tonton (video live) saya pada 6 Oktober baru-baru ini, ada saya post di sini, dengar apa yang saya jawab apabila media bertanyakan tentang Aafiyah. Tajuk berita ini (daripada portal hiburan) jauh berbeza dengan jawapan saya.


"Saya tidak pernah menyebut saya lebih gembira jika Aafiyah menjadi ahli politik seperti yang ditulis," ujar penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang terkilan dengan sebuah portal hiburan apabila sengaja mencipta sensasi menerusi tajuk berita iaitu 'Siti Nurhaliza Lebih Gembira Aafiyah Jadi Ahli Politik' yang tidak sama dengan kandungan cerita sebenar.

Siti menyangkal dakwaan pernah menyebut dirinya lebih gembira sekiranya anak perempuannya, Siti Aafiyah menjadi ahli politik seperti dilaporkan oleh sebuah portal baru-baru ini. Siti berkata, kenyataan itu bercanggah dengan jawapan sebenar yang diberikan ketika ditanya oleh media mengenai Aafiyah.

Difahamkan, berita itu ditulis berdasarkan hantaran video yang dimuat naik Siti ketika sidang media A Night To Remember, Live @ Persada Johor, baru-baru ini. Siti, 43, berkata, tajuk berita itu jauh berbeza dengan jawapan diberikan kepada pihak media yang berada di lokasi sidang media diadakan.

Klik untuk gambar besar



Menerusi hantaran di laman Instagram, Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Taruddin, 43, berharap pihak terbabit bertanggungjawab dengan artikel yang sudah dimuat naik.

"Etika menulis dan impak kepada orang lain. Netizen akan menulis di ruangan komen berdasarkan tajuk itu dan macam-macam akan diperkatakan."Apa yang saya tekankan adalah mengenai etika menulis, jangan mengubah fakta dan saya pula yang terkena impak negatifnya.

"Saya sangat berharap agar pihak berkenaan (portal hiburan) bertanggungjawab di atas artikel dan tajuk yang ditulis. Saya tidak pernah ada masalah dengan pihak media tetapi saya hanya mahu agar apa yang ditulis perlu dengan fakta yang betul, apatah lagi ada video yang boleh dirujuk," tuturnya.



Terdahulu, menerusi hantaran video dimuat naik, Siti berkata, dia dan suami sebolehnya mahu anak sulungnya, Aafiyah menjadi ahli perniagaan dan menerusikan legasi perniagaan dibina.

"Saya sebagai ibu sentiasa menyokong minat dan bakat yang dia ada. Cuma dia ada kelebihan apabila dewasa nanti. Kalau ikutkan semua ibu bapa mahukan setiap anak ada kerjaya yang baik. Macam ayah dia, nak dia menjadi ahli perniagaan supaya dapat meneruskan perniagaan yang saya ada.

"Namun, sekiranya bakat itu (menyanyi) saya rasa luar biasa, apa yang penting ketahanan mental dan fizikal. Sebab saya sendiri sudah berada dalam bidang seni ini. Tapi saya lebih suka jika dia memilih menjadi ahli perniagaan. Bukan senang nak menjadi artis ini," katanya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: