22 October 2022

SELAMAT NIKAH - HALIM RADZI & SHARIFAH HUSNA KINI SUAMI ISTERI



Tahniah diucapkan kepada pasangan pelakon Halim Radzi dan Sharifah Husna yang kini telah pun selamat bergelar suami-isteri dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Kajang, Selangor pada Jumaat.


Halim atau Abdul Halim Radzi Sapari, 26, berkata, dia dinikahkan sendiri oleh bapa Husna iaitu Syed Feizal Syed Mohd. Katanya, pengalaman dinikahkan oleh bapa mentuanya sendiri sangat mendebarkan namun lega apabila majlis yang dirancang berjalan lancar.

"Mulanya ikut perancangan akan dinikahkan oleh jurunikah, namun akhirnya bapa Husna sendiri yang ambil tugas itu. Memang saya sangat gementar. Itu adalah momen tidak boleh saya lupakan sehingga mengalirkan air mata.

"Syukur segalanya berjalan lancar. Rasa macam mimpi apabila kami sudah pun sah bergelar suami isteri," tuturnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.

Klik untuk gambar besar



Pada majlis yang diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan teman rapat, Halim telah menyerahkan seutas gelang emas sebagai mas kahwin serta lima dulang hantaran yang dibalas tujuh daripada pihak Husna.

Sementara itu, Halim menjelaskan mereka tidak menghebahkan tentang majlis itu kerana bimbang apa yang dirancang tidak menjadi kenyataan.

"Bagi saya sudah tiba masanya kami bernikah, tak elok bercinta lama-lama... jadi kami dahulukan perkara yang wajib. Selama ini saya memang jarang bercerita dengan orang soal perkahwinan sebab takut apa kami rancang tak menjadi.



"Alhamdulillah, sekarang ini kami akan fokus pula kepada rumah tangga dan berharap ikatan ini akan membawa keberkatan kepada saya dan Husna," ujarnya.

Tambah Halim, mereka akan diraikan dalam sebuah majlis kenduri di sebuah hotel di Putrajaya pada 30 Oktober ini. Pasangan ini juga belum merancang tarikh dan destinasi bulan madu memandangkan kedua-duanya terikat dengan jadual penggambaran.

"Jadual penggambaran sudah dirancang lebih awal, memang tak boleh nak mengelak. Jadi kami belum ada perancangan untuk berbulan madu. Seperti pasangan lain, kami berharap perkahwinan ini kekal sehingga ke syurga. Semoga kami lebih memahami antara satu sama lain.

"Orang kata, rezeki selepas berkahwin makin bertambah, kami mahu saksikan keajaiban itu," katanya yang turut tidak menolak digandingkan dengan isteri dalam drama selepas ini.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: