29 October 2022

TERIMA SUMBANGAN - ANAK ARWAH BOB LOKMAN TERHARU MASIH DIINGATI



"Sejak pemergian Allahyarham, kami sekeluarga ada mengalami fasa naik turun dalam kehidupan tetapi Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Ibu dan abang sulung kini menjalankan perniagaan mengambil tempahan bubur lambuk dan serunding. Perniagaan ini ayah dah buat sebelum ini, kami hanya sambung.


"Keadaan mak pula semakin baik walaupun masih bersedih dengan kehilangan tapi dia reda dengan pemergian ayah," demikian tutur anak keempat Allahyarham Bob Lokman iaitu Ahmad Rayyan, 16, yang memberitahu perniagaan tersebut telah lama diusahakan sejak bapanya masih hidup dan kini diteruskan oleh ibu dan abang sulungnya.

Sejak pemergian arwah Bob Lokman pada 23 September lalu, balunya iaitu Relawati Daud bersama anak sulung kini menjalankan perniagaan mengambil tempahan bubur lambuk dan serunding bagi menampung kehidupan keluarga.

Pada Majlis Malam Selebriti dan Anak Seni bersama Pimpinan Kerajaan Negeri Kelantan di Hotel Le Meridien, Putrajaya yang diadakan pada malam Jumaat, pihak penganjur telah memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada keluarga Allahyarham dan Rayyan bersama adiknya, Ahmad Lukman, 10, hadir bagi mewakili keluarganya.

Klik untuk gambar besar



"Saya rasa terharu dan terkejut sebab kami ingatkan selepas ayah meninggal dunia, semua akan senyap dan tiada orang lagi nak sebut mengenainya. Tapi tiba-tiba ada sumbangan ini... terima kasih banyak kepada kerajaan negeri Kelantan atas sumbangan," katanya.

Kerajaan negeri turut memberi sumbangan kepada Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Artis Veteran Malaysia sebanyak RM15,000. Sumbangan diserahkan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan turut dihadiri oleh exco kerajaan negeri tersebut.

Untuk makluman, Bob atau Mohd Hakim Lokman, 58, meninggal dunia di Kubang Kerian, Kelantan akibat komplikasi penyakit jantung pada 23 September lalu. Bob yang juga penulis lirik lagu 'Isabella' dan 'Taman Rashidah Utama' itu meninggalkan seorang balu, Relawati Daud dan tujuh cahaya mata.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: