Peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), penyanyi Tom enggan membuka kembali hati untuk menerima kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya, selepas tiga kali melalui fasa kegagalan dalam rumah tangga sebelum ini.
Menurut Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 36, berkata, pengalaman sebelum ini menjadikan dia lebih berhati-hati dalam mencari pasangan dan kini memberi fokus kepada membesarkan dua cahaya matanya.
"Saya lalui perkara yang membuatkan diri ini kecewa. Jadi untuk buka hati kembali menerima kehadiran lelaki rasanya belum lagi. Saya seronok hidup single sekarang ini. Sejak usia muda jarang saya tidak ada kekasih, rasanya paling lama sebulan sahaja single.
"Saya sayangkan hubungan dengan semua bekas suami sebelum ini. Bagaimanapun hubungan kami tidak panjang. Namun Allah kurniakan anak-anak sebagai pengganti. Itulah yang akan saya jaga sampai bila-bila," ujarnya yang dipetik sebagai berkata kepada mStar.
Tom mengakui cinta lelaki adalah kelemahannya dan disebabkan itu dia bimbang jika apa yang pernah berlaku sebelum ini kembali berulang sehingga dia boleh mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak.
Klik untuk gambar besar
Dalam masa sama, Tom juga memberitahu sekarang ini ada beberapa lelaki yang cuba untuk mendekatinya namun ditolak secara baik.
"Kalau ada pasangan saya akan sayang orang itu lebih daripada diri sendiri. Kelemahan saya adalah lelaki yang selalu dekat dengan saya. Jadi saya takut jika kembali bercinta, saya akan abaikan kepentingan sendiri dan anak-anak.
"Ada juga beberapa lelaki yang cuba hendak kenal dekat, namun sekarang saya lebih fokus menjaga anak-anak. Sebab itu saya cuba elak cinta lelaki," jelasnya.
Untuk makluman, Tom pertama kali mendirikan rumah tangga pada usia 21 tahun dan sejak itu dia sudah berkahwin dengan tiga orang lelaki dalam tempoh lapan tahun.
Hasil daripada kesemua perkahwinan, Tom memiliki tiga orang cahaya mata, namun hanya dua orang anak hasil perkahwinan ketiga sahaja di bawah jagaannya.
Sementara itu, bercakap tentang persembahan di pentas GV9 yang sering mendapat kedudukan terbawah, Tom berkata dia tetap bersyukur diberi peluang kekal bersaing dalam program tersebut.
"Mungkin sebab dari awal asyik berada di kedudukan bawah, saya sudah rasa biasa dan tidak pernah kecewa. Apa yang penting adalah masih bertahan dan dapat ke minggu seterusnya.
"Pada setiap minggu saya sudah memberikan yang terbaik, namun masih belum keluar semua ‘taring’ lagi. Saya harap akan bertahan untuk sampaikan lagu pilihan yang sememangnya saya mahukan," tuturnya.
________________________
No comments:
Post a Comment