10 October 2022

TUMPUAN PADA KELUARGA PUNCA 'MENGHILANG' - PAT CANDY KINI LEBIH TERBUKA KONGSI KISAH DUA ANAKNYA AUTISME



"Dulu tak banyak kesedaran tentang autisme dan sebab itu kami rahsiakan tentang keadaan anak-anak kerana percaya mereka akan pulih. Jika kongsi kisah mereka saya bimbang anak-anak akan mendapat malu sekiranya mereka kembali normal... kemudian baru kami sedar bahawa mereka tidak akan pulih.


"Sekitar 2016, kami sekeluarga pernah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan influenza. Selepas membuat pendaftaran masuk, Darren hilang dan tidak tahu dia pergi ke mana sehingga satu hospital kecoh.

"Sejak itu kami lebih terbuka berkongsi keadaan mereka supaya jika berlaku kejadian serupa, orang faham masalah anak kami dan tahu ke mana harus dihantar jika terjumpa dengan mereka," kata peserta program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), penyanyi Pat Candy.

Peristiwa kehilangan anak lelaki sulungnya enam tahun lalu membuatkan Pat Candy kini lebih terbuka untuk berkongsi tentang autisme yang dihidapi oleh dua orang cahaya matanya iaitu Darren Haikal, 18 dan Dylan Hydar, 10.

Pat atau nama sebenarnya Nurul Nadhira Patrica Robert, 48, berkata, sebelum ini dia pernah menyangka anak-anak kesayangannya akan pulih seperti biasa namun kini reda dan menerima hakikat bahawa mereka adalah kiriman Allah untuk dijaga.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, isteri kepada pemuzik Edrie Hashim ini juga memberitahu keadaan anak-anaknya turut menjadi faktor dia memperlahankan karier seni sebelum ini demi memberi sepenuh perhatian kepada mereka.

Kata Pat, dia tidak mengharapkan orang lain menjaga anak-anaknya dan lebih selesa menguruskan sendiri semua keperluan anak syurganya.

"Sebagai ibu ada ketika saya sendiri tak tahan menjaga anak-anak... sebab itu saya tak pernah mengharapkan orang lain untuk menguruskan mereka. Jadi saya perlahankan karier untuk fokus kepada mereka di rumah.

"Orang cakap saya ini sangat sabar tapi bagi saya Allah kurniakan anak syurga ini sebagai ujian kerana saya sebelum ini bukanlah seorang penyabar. Sekarang ini semakin banyak pendedahan tentang autisme dan apabila membaca kisah orang lain, saya tahu ada lebih susah berbanding apa saya lalui," tuturnya.

Untuk makluman, Pat dan Edrie mendirikan rumah tangga pada 9 Februari 2002. Pat juga mempunyai seorang lagi anak perempuan menerusi perkahwinan terdahulu.

Sementara itu, bercakap mengenai persembahan di minggu keempat GV9, Pat berkata, dia bersyukur diberi peluang untuk terus bersaing walaupun mendapat markah tercorot selepas menyampaikan lagu Kembara Di Tanah Gersang yang dipopularkan kumpulan Al Jawaher.

"Bermula pada minggu kedua lagi saya sudah fikir akan tersingkir kerana saingan sangat hebat dan sentiasa bersedia jika nama diumumkan terkeluar. Lega rasanya apabila diberi peluang kedua. Saya kena buktikan supaya tidak lagi berada di kedudukan terbawah. Peluang ini bagaikan mati hidup semula," jelasnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: