02 November 2022

"24 NOVEMBER INI, SAYA AKAN BERI KENYATAAN DENGAN LEBIH JELAS" - AMELIA HENDERSON



Di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, seorang pengurus produksi tampil memberitahu syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan pelakon Amelia Henderson.


Fazeyla Ahmad, 42, yang juga Pengurus Produksi A Aida Production itu berkata kos-kos kerugian itu merangkumi bayaran pendahuluan terhadap Amelia, penulis skrip, penolong pengarah, suntingan, krew, pengangkutan dan peralatan penggambaran.

"Akibat pelanggaran perjanjian daripada defendan pertama (Amelia), kami telah mengalami kerugian selain terpaksa membuat penjadualan semula bagi penggambaran yang siap sedia untuk memulakan penggambaran pada 16 Jun 2022," kata saksi plaintif ketiga itu ketika membaca pernyataan saksi.

Dalam pada itu, saksi terbabit memaklumkan susulan tindakan Amelia tersebut, syarikat produksi terpaksa mencari pengganti bagi watak utama drama terbabit di saat-saat akhir.

Pada masa sama, saksi tersebut turut berkata siaran langsung dalam Instagram milik Amelia itu didakwa berunsur fitnah dan tindakan pelakon terbabit telah menjejaskan imej dan reputasi syarikat produksi milik penerbit Datuk A Aida.

"Video yang mengandungi kenyataan-kenyataan fitnah terbabit telah tersebar meluas di dalam media sosial hingga menjejaskan imej dan reputasi plaintif (syarikat produksi) secara teruk sebagai sebuah produksi drama atau filem tersohor di Malaysia," tutur saksi.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, pengurus kepada Amelia memberitahu dia sendiri yang menandatangani kontrak bagi pihak aktres itu untuk drama 'Sekali Lagi Cinta Kembali' pada 25 Januari 2022.

Siti Nursyuhada yang juga saksi ketiga kes melanggar perjanjian kontrak penggambaran drama tersebut memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada perbicaraan hari kedua kes berkenaan yang diadakan pada Rabu.

Saksi turut memberitahu walaupun defendan pertama iaitu Amelia tidak menandatangani sendiri kontrak tersebut, namun dia masih bertanggungjawab untuk mengikut terma dan syarat ditetapkan.

"Defendan turut dimaklumkan tentang syarat dan terma kontrak," jelasnya pada sesi pagi perbicaraan berkenaan.

Siti Nursyuhada berkata demikian bagi menjawab soalan daripada peguam defendan pertama di hadapan hakim, Tuan Zulqarnain Hassan.



Pada masa sama, saksi itu memberitahu mahkamah sudah enam tahun bergelar pengurus kepada defendan pertama. Saksi turut bersetuju menandatangani kontrak bagi pihak defendan pertama adalah sebahagian skop pekerjaannya sebagai pengurus artis.

Dalam pada itu, saksi keempat pengurus produksi A. Aida Production iaitu Fazeyla Ahmad bersetuju sidang media dibuat penerbit Datuk A. Aida berhubung tindakan saman terhadap dua pelakon Idris Khan dan Amelia telah mencalarkan imej aktres tersebut.

Fazeyla turut bersetuju dengan tindakan defendan pertama membuat sidang video di Instagram bagi membersihkan namanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kerugian dialami A. Aida Production, Fazeyla tidak bersetuju angka yang dinyatakan adalah rekaan. Bagaimanapun saksi bersetuju hanya baucar bayaran sebagai bukti menunjukkan jumlah kerugian tanpa ada dokumen lain bagi menyokong dakwaan berkenaan.

Berhubung hal tersebut, Amelia yang ditemui media selepas selesai prosiding perbicaraan hari kedua itu berkata, biarpun berdepan dengan perbicaraan, dia bersyukur kerana mendapat sokongan keluarga yang sanggup menemaninya ke mahkamah sehingga lewat petang.


"Maaf saya tak boleh cerita lebih lanjut berkenaan kes saya ketika ini kerana tidak mahu menjejaskan kes. Tapi pada 24 November ini, saya akan memberi kenyataan dengan lebih jelas.

"Saya bersyukur kerana ahli keluarga tidak putus memberikan sokongan. Saya juga ingin berterima kasih kepada barisan peguam, rakan-rakan media serta peminat yang sentiasa mengambil berat," ujarnya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan bersambung lagi 24 November ini dengan Amelia selaku defendan akan memberi keterangannya.

Semalam kes saman membabitkan penerbit sensasi, A Aida bersama seorang lagi pelakon iaitu Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu.

Sebelum ini media melaporkan, Amelia dan Idris berdepan tindakan saman daripada A Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

A Aida bersama pengarah drama, 'Sekali Lagi Cinta Kembali' iaitu Rizal Baharuddin sepakat membawa perkara terbabit ke muka pengadilan sekali gus memberi pengajaran kepada pelakon berkenaan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: