24 November 2022

AL-FATIHAH - PENGARAH AZHARI ZAIN KEMBALI KE RAHMATULLAH



Kira-kira pukul 12.15 pagi ini, pengarah filem juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) iaitu Azhari Zain telah menghembuskan nafas terakhirnya, selepas sembilan bulan terlantar sakit akibat diserang angin ahmar atau strok.


Azhari atau nama sebenarnya Azhari Mohd Zain, 50, meninggal dunia di kediamannya di Sunway Alam Suria, Shah Alam, Selangor. Berita pemergian Allahyarham disahkan oleh isterinya, Wahizatul Nureen Azmi.

"Assalamualaikum, Al-Fatihah buat suami saya Azahari Bin Mohd Zain. Allah lebih menyayangi beliau. Semoga dipermudahkan urusan arwah. Semoga arwah ditempatkan bersama para solihin," katanya.

Jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Ar-Raudhah, Seksyen U10, Shah Alam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, Klang.

Klik untuk gambar besar



Pada Februari lalu, Azhari berada dalam keadaan kritikal setelah mengalami pendarahan di kepala serta kesukaran menggerakkan kedua-dua belah tangannya. Dua bulan kemudiannya, Azhari mula menunjukkan perkembangan positif dan dibenarkan pulang ke rumah.

Azhari yang juga pensyarah kanan di Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu mendapatkan rawatan alternatif seperti akupuntur dan urutan untuk memulihkan dirinya.

Sepanjang tempoh itu, pergerakannya terbatas dan hanya mampu memberi isyarat menerusi gerakan kepala atau hanya menunjukkan reaksi emosi.

Allahyarham Azhari memulakan kerjaya seni pada 2004. Dia pernah menjadi penulis dalam banyak penerbitan filem antaranya 'Tangkai Jering', 'Potret Mistik', 'Anak Mami Kembali', 'Nana Tanjung' dan 'Duyung'.

Selain itu, arwah juga mengarahkan filem '3 2 1 Cinta', 'Santau', '7 Petala Cinta', 'Hantu Dalam Botol Kicap', 'Mantra', 'Zoo', 'Flat 3A' dan banyak lagi.

Allahyarham meninggalkan isteri, Wahizatul Nureen dan tiga cahaya mata.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: