09 November 2022

DALAM PROSES UNTUK DIPINDAHKAN KE WAD BIASA - ISTERI MOHON BERI ZAMANI RUANG BEREHAT



"Suami sudah sedar dan berada di bawah pemantauan doktor. Saya sangat menghargai keprihatinan ahli keluarga, rakan dan peminat yang mengambil berat serta bertanya khabar. Seperti diketahui, ini adalah pembedahan besar, jadi mengambil masa untuk pulih.


"Atas nasihat doktor, suami perlu banyak berehat agar proses pemulihannya berjalan lancar," itulah kata isteri kepada penyanyi Zamani Slam, Nur Juliana Abdul Rani yang berterima kasih atas keprihatinan rakyat Malaysia, selain memohon maaf tidak dapat menerima kehadiran pelawat bagi memberi ruang untuk suaminya berehat.

Sebelum ini, Zamani atau nama penuhnya Zamani Ibrahim, 51, dilaporkan sudah sedar, namun masih berada dalam pemantauan doktor selepas menjalani pembedahan membetulkan tulang belakang akibat penyakit scoliosis di sebuah pusat perubatan swasta di Cheras, kelmarin.

Berkongsi keadaan terkini Zamani, Nur Juliana, 39, meluahkan rasa syukur suaminya sudah sedar dan kini dalam proses untuk dipindahkan ke wad biasa.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun, katanya, dia mohon kerjasama agar memberi ruang kepada suami memandangkan masih berada dalam keadaan lemah dan perlu banyak berehat.

Katanya, dia tidak dapat menerima kehadiran pelawat dan berharap semua dapat memahami keadaan Zamani.

Terdahulu, penyanyi lagu 'Gerimis Mengundang' itu dimasukkan ke dewan bedah, jam 8 pagi kelmarin. Prosedur pembedahan mengambil masa selama tujuh jam, berakhir jam 3.15 petang kelmarin.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: