28 November 2022

HADIAH KEMENANGAN GV9 RM100,000 - JACLYN VICTOR BUAT SIMPANAN UNTUK ANAK-ANAK



Penyanyi Jaclyn Victor yang dumumkan sebagai juara Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) malam tadi hasil persembahan konsisten sepanjang minggu, mengakui dirinya tertekan untuk memberikan persembahan terbaik, apabila sering disebut-sebut sebagai juara sejak awal pertandingan itu bermula.


Bagi Jaclyn atau Jac, 44, sepanjang 11 minggu bertanding, ramai tidak tahu dia sebenarnya melalui pelbagai kesukaran termasuk gementar setiap kali menjejakkan kaki di pentas meskipun sudah berpengalaman.

"Orang mungkin nampak saya di atas pentas buat persembahan tetapi penonton tak tahu kesusahan yang dilalui sepanjang program ini. Setiap kali naik pentas memang jantung saya berdegup kencang apatah lagi orang meletakkan jangkaan saya sebagai juara, memang ada sedikit tekanan.

"Bagaimanapun saya tak mahu fikir semua itu. Apa yang penting adalah buat persembahan terbaik. Itu jadi ‘mantra’ saya setiap minggu," kata Jac yang membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Paris serta trofi.

Klik untuk gambar besar



Selepas berhempas-pulas dalam GV9, Jac memberitahu dia mahu berehat seketika untuk memberi fokus kepada dua anaknya. Tambahnya, duit kemenangan itu akan dia bahagikan sama rata untuk anak-anaknya sebagai wang simpanan.

"Kesian anak-anak sebab saya terlalu sibuk sepanjang penglibatan dalam GV9. Jadi rasanya dalam masa terdekat ini saya mahu rehat seketika untuk meluangkan masa dengan mereka.

"Sebahagian wang kemenangan ini juga saya akan bahagikan sama rata antara mereka berdua sebagai wang simpanan. Itu yang biasa saya lakukan,” jelasnya.

Bercakap tentang pengalaman kali ini, kata Jac persembahan rakan-rakan lain turut memberi semangat untuk dia berjuang meskipun pada awalnya berdepan dengan masalah suara akibat sinus kronik.

Dalam masa sama, Jac berkata, sepanjang pertandingan berlangsung, Datuk Ramli MS banyak memberi tunjuk ajar. Dek kerana itu, dia tidak akan melupakan jasa pengarah muzik serta juri tetap GV9 itu.

"Dalam bidang ini memang tiada istilah sudah cukup bagus. Banyak yang saya belajar sepanjang di GV9. Tok Ram (Ramli) adalah seorang guru yang sangat hebat dan jasanya tidak akan terbalas. Melihat persembahan rakan-rakan artis lain, mereka semua mahu berikan kelainan.

"Saya ini bukan pandai berlakon sambil menyanyi di atas pentas... jadi dengan vokal yang ada ini saya berikan sebaik mungkin. Apabila melihat mereka lebih bagus, tak pernah rasa iri atau dengki, sebaliknya itu memberi saya semangat," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: