26 November 2022

ISMAIL IZZANI AKHIRNYA MENGAKU SALAH: "SAYA MANUSIA BIASA... KATAKANLAH APA, SAYA TERUS KEKAL DENGAN LANDASAN SAYA"



Selepas dilihat melarikan diri berhubung video memaparkan aksi seorang lelaki mirip wajahnya sedang berciuman dengan wanita seksi di sebuah kelab hiburan tular menerusi aplikasi TikTok, baru-baru ini, akhirnya penyanyi Ismail Izzani, 22, tampil membuka mulut dengan mengakui kesilapan dirinya dan akan sentiasa ingat di mana dia berdiri sebagai seorang manusia biasa.


"Kepada semua, apa pun saya bergerak ke hadapan dan memperbaiki diri. Biar hanya keluarga dan rakan tahu, itu sudah lebih daripada cukup. Saya tidak perlu menjelaskan apa-apa kerana orang ramai tidak akan mengambil berat mengenai perkara betul atau salah. Dan, saya tidak mahu membuang masa mengenainya.

"Saya mengakui kesilapan saya. Sebagai manusia biasa, saya akan sentiasa beringat di mana saya berdiri. Buruk atau baik, saya masih menjadi diri sendiri. Jika ada yang mahu menganggap melarikan diri, teruskan. Saya hanya tidak mahu membuang masa untuk menerangkannya kerana ia adalah kesilapan saya," katanya.

Membuat kenyataan menerusi hantaran laman sosial, Instagram (IG) Story miliknya, Ismail menjelaskan bahawa dia tidak kisah mengenai apa yang orang hendak bercakap mengenainya.

Klik untuk gambar besar



"Biarkan saya. Selagi saya dan ahli keluarga tahu apa tindakan selanjutnya, itu sudah memadai. Katakanlah apa yang anda mahu kata. Saya terus kekal dengan landasan saya, sayangi tenaga anda. Selamat menjalani hari indah semua," tulis Ismail yang berharap tiada pihak mencampuri urusan peribadinya ekoran kontroversi tersebut.

Dalam hantaran berasingan, anak kepada penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam itu memuat naik foto sedang memegang pasport seolah-olah ingin membawa diri atau pergi bercuti ke luar negara. Namun tidak dapat dipastikan ke mana destinasi dituju penyanyi lagu 'Luar Biasa' itu.

Sebelum ini, Ismail enggan bertemu media selepas persembahannya bersama Naim Daniel menerusi lagu 'Habis Sini' di Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM37) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, hari ini, bagi menjawab soalan berhubung kontroversi yang sedang melanda dirinya ketika ini.

Perkara itu dimaklumkan pihak pengurusannya dan penyanyi itu dilaporkan sudah pulang walaupun SFMM37 masih berlangsung.



Menjelaskan dakwaan dia melarikan diri daripada pihak media, Ismail berkata, dia tidak mahu membuang masa menjelaskan perkara tersebut kerana dia sudah mengakui kesalahannya.

"Ingin saya jelaskan, saya tidak lari daripada anda (media). Jika anda ingin kata saya lari daripada media, teruskan. Saya tak mahu buang masa menjelaskan kerana saya mengaku kesalahan saya," ujarnya.

Sementara itu, Ismail turut memohon maaf dan meminta semua mendoakan yang terbaik buat dirinya. Bagaimanapun kata Ismail, dia tidak boleh berjanji namun akan berusaha menjadi lebih baik buat dirinya sendiri.



"Doakan yang baik-baik ya. Saya minta maaf untuk semua kesalahan yang saya lakukan. Saya tak boleh janji apa-apa tetapi saya akan jadi lebih baik buat diri saya sendiri. Ini kehidupan saya, perjalanan hidup saya," katanya.

Terdahulu, video kontroversi yang berdurasi tujuh saat itu menyaksikan lelaki bermirip Ismail dipercayai dalam keadaan mabuk merangkul gadis seksi sambil mengucup pada bahagian pipi dan leher dalam keadaan ghairah. Lelaki terbabit juga sempat memandang ke arah kamera merakamkan wajahnya dipercayai dalam keadaan 'lalok'.

Susulan penularan video memalukan itu, akaun Instagram Ismail diserang netizen yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bermoral. Tidak hanya Ismail, ibunya juga turut diserang netizen sehingga sanggup meninggalkan kata-kata kurang enak terhadapnya.

Untuk makluman, ini bukan kali pertama Ismail terbabit dalam kontroversi malah pernah dikecam kerana berpelukan dengan seorang pelakon wanita di kelab malam.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: