02 November 2022

"KESIAN LAKI AKU, SATU SEN PUN TAK DAPAT" - PENGANJUR TAMPIL JELASKAN ISU ISTERI ZAMANI LUAH BENGANG BERHUBUNG DUIT KONSERT



"Aku ni (ini) hanya ada dia je dalam hidup aku tau, apa dosa dia sampai korang (kamu semua) tergamak buat dia macam tu. Sampai sekarang dia masih percaya korang kawan dia. Lagi seminggu nak operate (pembedahan) ni. Apa niat baru nak bagitahu (beritahu) benda ni semalam. Memang dia tengah down (kecewa) sekarang. Korang happy (seronok) kan?


"Kalau dia decide (buat keputusan) putus harapan untuk hidup atau apa-apa jadi kat dia nanti lepas operation (pembedahan), sumpah aku cari korang sampai lubang cacing la se**n... cctv semua ade. Kesian (kasihan) laki (suami) aku satu sen pun tak dapat. Tapi dia dapat hidu dari awal dah. Tapi jangan ingat boleh terlepas. Aku lagi bijak dari korang."

Demikianlah luahan hati isteri kepada penyanyi kumpulan Slam, Zamani iaitu Nur Juliana Abd Rani di status WhatsApp baru-baru ini, yang mendakwa suaminya tidak mendapat bayaran ketika menjayakan Konsert Doa Buat Zamani mengundang persoalan dalam kalangan peminat.

Menerusi gambar berlatarkan suaminya yang sedang beraksi di konsert itu pada 30 September lalu, Nur Juliana atau lebih mesra dengan panggilan Julie menulis status yang dipercayai ditujukan kepada individu tertentu.

Melihat pada status selanjutnya pula, Julie meminta semua pihak mendoakan individu yang dikatakan membawa lari wang Konsert Doa Buat Zamani itu menerima pembalasan.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, penganjur konsert tersebut iaitu Aalan Ahmad menjelaskan, dia tidak bercadang mengambil tindakan terhadap isteri Zamani yang mendakwa suaminya tidak mendapat bayaran ketika menjayakan konsert itu. Aalan yang mewakili syarikatnya Indera Entertainment berkata, kemungkinan besar Juliana tersalah faham sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Dia mungkin tidak tahu perkara sebenar berkenaan tiket yang tidak habis dijual, tetapi pada masa sama penonton dilihat memenuhi tempat duduk yang disediakan. Saya anggap ini hanyalah salah faham kecil dalam satu keluarga dan tidak menyalahkan dia sepenuhnya atas apa yang berlaku.

"Masalah ini sepatutnya boleh diselesaikan sesama kami dan bukan membawanya keluar. Mungkin dia tertekan memikirkan keadaan suaminya yang bakal menjalani pembedahan serta pelbagai masalah lain sehingga sanggup mengeluarkan kenyataan sedemikian," jelasnya yang dipetik sebagai berkata Harian Metro.

Aalan turut menunjukkan penyata jualan tiket konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 September lalu ialah sebanyak 365 keping. Pecahan lengkap jualan terbabit menyaksikan tiket untuk kategori tempat duduk Rindiani dijual sebanyak 72 keping, Nur Kasih (214), Maria Mariana (31), Kurnia (48) dengan kutipan keseluruhan berjumlah RM107,120.



"Jumlah itu kemudiannya dicampur dengan tiket pembelian Tuanku Permaisuri Selangor menjadikan jumlah terkumpul sebanyak RM116,120. Dari situ saya bayar segala kos berkaitan antaranya sewa pentas, pemuzik, artis undangan dan permit DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang jumlahnya mencecah RM111,485.

"Selepas ditolak kos itu, baki yang tinggal di tangan ialah RM4,635. Itulah pendapatan yang kami dapat. Wang itu akan diberikan kepada Zamani mengikut rundingan asal 70/30.

"Jadi tidak benarlah kenyataan yang dia tidak dapat sesen pun dari konsert terbabit. Saya masih ingat kenyataan Zamani tak kisah jika tiada untung besar asalkan kami tidak berhutang," katanya yang mendoakan pembedahan Zamani minggu depan berjalan lancar.

Difahamkan, mereka juga akan ke pejabat Mytickets Asia dalam minggu ini untuk mendapatkan butiran lanjut. Dalam pada itu, Aalan turut memberitahu, perkara itu sudah diselesaikan secara baik di antaranya dengan Zamani apabila dia sudah berjumpa dengan penyanyi itu, Sabtu lalu dan menjelaskan semua tiket memang tidak dijual.


"Saya terkejut apabila Julie menghantar WhatsApp kepada seseorang mendakwa saya menipu duit show suaminya dan mengakui tidak menerima bayaran satu sen pun. Saya dah berjumpa dengan Zamani, Sabtu lalu dan menjelaskan semuanya yang tiket memang tidak dijual. Saya pun ajak dia pergi kepada pihak penjual tiket iaitu mytickets.asia.

"Mereka belum closing dan berjanji akan buat minggu ini. Saya kata kita datang bersama dan akan tahu berapa jumlah tiket dijual. Saya dah jelaskan semua pembayaran berkaitan dan untung hanya lebih RM4,000 saja," tuturnya.

Menurutnya, walaupun tiket tidak laris, pihaknya memenuhkan tempat duduk dengan penonton seperti mengundang ahli kelab peminat menyaksikannya.

"Kita akan penuhkan supaya nampak keadaan cantik. Waktu jumpa Zamani Sabtu lalu, saya buat penjelasan dan keadaannya ketika itu okey. Dia dah jelas semuanya. Sebelum berpisah kami bersalaman dan berpelukan. Dia kata tak mengapa dia nak selesaikan pembedahan dan selepas itu kita mula kerja semula macam biasa. Saya tak faham kenapa perkara ini berbangkit," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: