15 November 2022

KETERANGAN DAH DIRAKAM - ZUL HUZAIMY SERAH KEPADA POLIS



Susulan kenyataan kontroversi didakwa berbaur perkauman, polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah merakam keterangan pelakon Zul Huzaimy. Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Saaduddin berkata, keterangan pelakon yang berusia 43 tahun itu dirakam semalam.


"Polis masih menunggu laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi melengkapkan kertas siasatan itu. Kertas siasatan kemudian akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, polis membuka kertas siasatan ke atas pelakon terbabit susulan video kenyataannya yang tular di media sosial.

Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman mengikut Seksyen 506, Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mengulas mengenai klip video kontroversi yang tular, Zul Huzaimy memaklumkan dia menyerahkan kepada polis untuk membuat siasatan.

Klik untuk gambar besar



"Saya tak 'berniaga' begitu. Apapun saya serahkan kepada polis untuk siasatan," ujarnya.

Terdahulu, tular rakaman video ceramah Zul Huzaimy di atas pentas dikaitkan dengan Pas, mengandungi kenyataan kontroversi berbaur perkauman.

Menerusi ucapannya itu, Zul Huzaimy menyentuh isu golongan bukan muslim yang dibahagikan kepada dua kategori iatu kafir zimmi dan kafir harbi. Difahamkan kenyataan sensitif pelakon terbabit dirakam pada satu program di Kemaman, Terengganu, pada 4 November lalu.

Zul Huzaimy kemudian menerusi hantaran video yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, memohon maaf atas ucapan itu yang didakwanya disalah anggap.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: