15 November 2022

PERSEMBAHAN LINCAH SAMPAI LENGAN TERDEDAH TERIMA KRITIKAN - SHILA AMZAH AKUI SILAP, AKAN LEBIH BERHATI-HATI



"Saya akui tidak perasan sarung tangan panjang yang digayakan melorot sehingga menampakkan bahagian lengan," demikian kata penyanyi Shila Amzah yang mengakui dia tidak perasan dan terlepas pandang mengenai aurat pada bahagian lengannya yang terdedah sewaktu membuat persembahan di konsert suku akhir Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9), pada Ahad lalu.


Jelas Shila lagi, dia tidak sangka sarung tangannya itu melorot sehingga menampakkan lengannya. Menurutnya, pakaian yang digayakan itu bukanlah busana asal tetapi telah ditukar di saat-saat akhir atas sebab tertentu.

"Material sarung tangan itu kulit, jadi sepatutnya melekat dengan baik. Tapi tak sangka jadi sebaliknya. Kalau ikutkan saya pakai baju lain. Baju yang saya pakai ini ditukar pada saat akhir kerana lebih sesuai dengan konsep persembahan.

"Sepatutnya saya kena pin bahagian antara lengan baju dengan sarung tangan. Tapi perkara dah nak jadi. Masalah teknikal melibatkan 'wardrobe' adalah suatu perkara yang kita sendiri kadang-kadang tidak sangka," tuturnya lagi.

Klik untuk gambar besar



Selain pakaian yang menjadi bualan ramai sehingga ada menuduh penata rias penyanyi itu tidak peka, persembahan Shila sewaktu menyanyikan lagu 'Survivor' oleh kumpulan Destiny's Child itu juga kurang disenangi pengguna laman sosial apabila dikatakan berlebih-lebihan dan tidak sesuai dengan imejnya yang berhijab.

Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah, 32, berkata, konsep persembahannya pada malam itu memerlukan dia bergerak lincah dan agresif, sesuai dengan lagu yang dibawakan. Tambahnya, apa ditonjolkan adalah gambaran sebenar peribadinya selain perlu memberikan yang terbaik pada peringkat suku akhir pertandingan.

"Di atas pentas, saya perlu menjadi diri sendiri. Lagu itu memerlukan saya untuk sedikit agresif tapi sebenarnya itulah saya jika di luar pentas. Lagipun ini sudah suku akhir, saya tak boleh nak simpan lagi. Sebab itu kena buat sehabis baik. Apa sahaja keputusan pada malam itu, saya kena puaskan diri sendiri dahulu," ujarnya.



Sehubungan itu, ibu kepada seorang cahaya mata itu mengakui apa yang berlaku membuatkan dia akan lebih peka dan mempelajari kesilapan yang telah dilakukan.

"Saya sendiri tidak boleh jangka ia terjadi malah saya juga tak sangka boleh menari lincah di atas pentas ketika itu. Saya bersama pasukan penata gaya terpaksa menukar baju di saat akhir kerana mahu ikut konsep persembahan. Sepatutnya saya lebih peka dan boleh pin dengan rapi sebelum naik ke atas pentas.

"Perkara sebegini mengajar saya untuk lebih berhati-hati. Dalam masa sama ini juga cara saya memperbaiki diri dengan mengambil kira semua teguran peminat. Terima kasih dengan teguran-teguran membina," katanya.


Menerusi lagu 'Survivor' itu, Shila berjaya mendapat markah tertinggi iaitu sebanyak 85.30 peratus daripada juri profesional sekali gus diumumkan sebagai peserta pertama mara ke peringkat separuh akhir.

Meskipun mendapat markah tertinggi menerusi persembahan tersebut, Shila bagaimana tidak berpuas hati dengan kualiti vokal sendiri dan memberitahu dia terganggu dek kekurangan rehat.

"Beberapa hari lalu saya susah nak tidur kerana terlalu banyak perkara dalam fikiran. Bukan hanya soal persembahan di pentas suku akhir GV9, semi final Muzik-Muzik 37 juga semakin hampir.

"Otak saya tak henti berfikir sehingga gganggu waktu tidur. Tambahan pula dengan jadual latihan. Saya sedar kualiti vokal kurang memuaskan," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: