08 November 2022

"MUNGKIN MEREKA MAKSUM SAMPAI MEMBODOH-BODOHKAN ORANG" - NABIL ENGGAN LAYAN KECAMAN ISU AJUK CAKAP RAISA



"Kalau saya rasa perbuatan itu menghina atau memalukan apatah lagi kepada tetamu, saya sendiri akan terus meminta maaf. Mereka yang pandai kecam ini tahu ke proses sebelum sesebuah rancangan televisyen dirakamkan, lebih-lebih lagi siaran langsung seperti GV?


"Semua peserta, hos, juri, kru dan selebriti undangan akan diberikan penerangan bagaimana program berjalan," ujar pengacara Nabil Ahmad yang enggan melayan kecaman pengguna laman sosial dimana mereka seolah sengaja mencari salahnya.

Sebelum ini, Nabil menerima kecaman susulan gurauannya terhadap penyanyi Indonesia, Raisa pada konsert minggu kelapan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).

Hos berusia 39 tahun yang mengajuk Raisa dengan menggunakan bahasa Inggeris itu mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pengguna laman sosial hingga ada yang melabelnya sebagai biadab dan tidak profesional.

Berhubung hal tersebut, Nabil menganggap individu tersebut kurang faham konsep program hiburan. Kata Nabil, Raisa dan pihak pengurusannya sedia maklum ianya hanya usikan.

Tiada niat untuk mendabik dada, Nabil berkata sepanjang sembilan tahun mengendalikan GV dia tidak pernah mahu mengenakan sesiapa serta tidak menjadi kudis buat sesiapa yang ingin mengecamnya.

Klik untuk gambar besar



"Kalau masih mahu kutuk saya terpulanglah. Mungkin mereka maksum sampai membodoh-bodohkan orang. Itu bukan cara menegur, tapi bagi saya tak jadi kudis pun sebab mereka tak tahu senario belakang tabir," tuturnya.

Pada masa sama, pelawak yang juga pengarah dan penerbit itu memaklumkan Raisa tiada masalah bertemu dengannya selepas persembahan malam tadi. Malah penyanyi popular Indonesia itu turut muncul dalam program radio kendaliannya pagi tadi sebagai tetamu undangan.

Menurut Nabil, penyanyi yang ramah itu sudah diberikan taklimat berkenaan GV yang santai dan diselitkan humor bagi menghidupkan suasana sebelum siaran langsung dimulakan.

"Pagi tadi Raisa datang ke konti. Kami sempat bersembang sebelum dia dan pengurusannya pulang. Dia ada ucapkan terima kasih, begitu juga pengurusnya yang menzahirkan rasa gembira diundang ke rancangan televisyen dan radio," ujarnya.

Tambah selebriti yang berpengalaman luas mengendalikan program secara langsung itu, setiap kali usai bekerja dia akan meminta maaf kepada mereka yang bekerja dengannya, tidak terkecuali Raisa.

Nabil sekali gus secara sinis menyatakan antara dia dengan penyanyi itu sudah selesai, tetapi bagaimana pula dosa mereka yang berterusan mengutuknya tanpa usul periksa.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: