08 November 2022

A. AIDA BERI MELIA AIMELIA 'JOB' BERLAKON - SEBAK DENGAR RAYUAN KESEMPITAN HIDUP



Umum sedia maklum mengenai pelakon Melia Aimelia yang sebelum ini berasa sebak disaat berkongsi kisah kepayahan hidup dan merayu mana-mana produser agar mengambilnya berlakon demi kelangsungan hidup.


Nampaknya beban hidup Melia akhirnya bakal dikurangkan apabila kisahnya itu mendapat perhatian produser, Datuk A. Aida yang menawarkannya terlibat dalam telefilem 'Rumah Tangga Berlumut'.

Melia atau nama sebenarnya Noor Aimelia Zaidi, 28, berkata, selepas kisahnya disiarkan portal mStar, dia ada menerima panggilan telefon daripada wakil syarikat A. Aida Production yang menawarkan watak dalam drama arahan Riza Baharudin itu.

"Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih kepada Datuk A. Aida kerana membuka peluang buat saya kembali sebagai pelakon dan dia seorang yang baik hati walaupun pertama kali kami berjumpa.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah selepas kisah saya disiarkan mStar sebelum ini, saya ada terima panggilan telefon daripada pihak A. Aida Production dan apabila dimaklumkan mengenai jadual dan lokasi penggambaran sekitar Kuala Lumpur saya terus terima.

"Selepas berbincang dengan ayah dan ibu, mereka memberi keizinan dan Insya-Allah ini merupakan permulaan buat saya sebagai pelakon selepas lama menghilangkan diri," tuturnya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama 'Rumah Tangga Berlumut' di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Menerusi drama berkenaan, Melia memegang watak sebagai Rozie yang turut menampilkan barisan pelakon seperti Ikhram Juhairi, Jaja Ellyas, Rosnah Johari, Zaidi Omar dan Razak Ahmad.



Ia sedang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur sehingga Sabtu ini dan akan ditayangkan menerusi saluran Salam HD (133) Unifi TV.

Ujar Melia lagi, tawaran yang diterimanya itu sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluaga terutamanya dalam mendapatkan rawatan bapa yang menghidap kanser.

"Niat saya hanya satu ingin membantu mengurangkan beban keluarga dan Insya Allah pendapatan yang diterima boleh digunakan untuk tujuan rawatan bapa yang sedang melawan kanser.

"Ini adalah keajaiban daripada Allah SWT, dengan doa-doa orang di luar sana yang mendengar rintihan dan suara hati saya serta keluarga. Saya mungkin tak sempat baca semua komen tetapi ibu memberitahu sangat ramai mendoakan kami. Terima kasih buat semua dan mStar kerana sudi membantu Melia sekeluarga," katanya.



Sementara itu, Melia memberitahu tahap kesihatan bapanya semakin menurun sejak kebelakangan ini dan pembedahan membuang nanah di kepalanya terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu.

Meskipun berat meninggalkan bapa di rumah, namun Melia berkata dia terpaksa berbuat demikian demi mencari rezeki buat mereka sekeluarga.

Tambahnya, walaupun sebelum ini A. Aida terpalit dengan kontroversi memilih pelakon berdasarkan rupa-paras namun tawaran yang diberikan memperlihatkan sisi baik wanita itu yang bermurah hati untuk membantu individu dalam kesusahan.

Dalam pada itu, A. Aida yang ditemui di lokasi penggambaran telefilem itu berkata, dia memberi peluang kepada Melia selepas membaca kisahnya yang tersebar di media sosial malah ada ramai memaklumkan mengenai perkara itu di Instagram.



"Macam Melia ini saya tahu dia merupakan seorang pelakon dan ada asas lakonan, untuk telefilem ini sebagai percubaan terlebih dahulu. Saya selalu beri peluang kepada pelakon baru dan apabila membaca kisahnya saya terpanggil beri peluang ini.

"Saya ada tanya pengarah sama ada dia boleh berlakon atau tidak, Riza memberitahu mungkin boleh ambil berlakon untuk slot Akasia pula selepas ini," jelasnya.

Terdahulu, Melia berkongsi kisah diman dia berhadapan kesempitan hidup kerana tiada pendapatan tetap dan hanya berharap bantuan daripada badan kebajikan berikutan tanggungjawabnya menjaga keluarga termasuk bapa yang sakit sementara adiknya pula ialah Orang Kelainan Upaya (OKU).

Untuk makluman, Melia memperlahankan karier seni pada tahun 2012 kerana menjaga bapanya yang sakit menyebabkan ramai menyangka dia sudah mengundurkan diri daripada industri lakonan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: