28 November 2022

SHILA AMZAH AKUI SUARA HILANG & TELINGA TAK DENGAR, MALAH HAMPIR PITAM DI PENTAS AKHIR GV



"Saya mula rasa sakit sejak Khamis tetapi ketika soundcheck pada hari berikutnya keadaan saya okay sahaja. Tetapi ketika datang untuk latihan pada Sabtu malam saya sudah rasa tak sedap badan. Ada rasa kecewa dengan diri sendiri sebab perkara ini terjadi di pentas akhir.


"Dari segi vokal saya boleh buat lebih baik lagi namun semua itu berbalik kepada rezeki. Itulah yang terbaik boleh saya lakukan," ujar penyanyi Shila Amzah yang mengakui sedikit kecewa dengan keadaan kesihatannya namun akur berdepan dengan ujian tersebut.

Persembahan bertenaga Shila Amzah di pentas akhir Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada malam Ahad itu mendapat pujian peminat meskipun gagal meraih gelaran juara, apabila menduduki tempat ketiga.

Bagaimanapun apa yang ramai tidak tahu, Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Hamzah, 32, berdepan masalah kesihatan termasuk hilang suara selain sukar untuk mendengar akibat jangkitan kuman.

Klik untuk gambar besar



Meskipun berdepan dengan situasi begitu, Shila berkata, dia tetap bersemangat dan bersyukur mendapat tempat ketiga sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 selain pakej percutian ke Seoul, Korea Selatan berserta trofi.

Pada peringkat akhir tersebut, Shila mempertaruhkan lagu 'Tak Ada Logika' dan 'Secret Love Song' pada pusingan pertama pertandingan tersebut. Manakala menerusi pusingan battle, Shila digandingkan bersama Tomok menyanyikan lagu 'Too Legit To Quit' dan 'Parti Sampai Pagi'.

Tambah Shila, selain berdepan masalah kesihatan, dia mengakui hampir pitam dek kerana terlalu menekan suara ketika membuat persembahan pada malam akhir itu.

"Sebelum naik pentas untuk pusingan battle saya dan minta maaf pada Tomok tetapi dia ingatkan saya bahawa ini adalah pentas akhir dan perlu push diri sebaik mungkin.

"Saya hampir pitam selepas membuat persembahan... sebelah telinga juga tak boleh dengar dan muka bengkak akibat ada jangkitan. Di belakang pentas memang suara tak keluar cuma apabila menyanyi saya cuba gunakan teknik yang betul," jelasnya.

Meskipun begitu, Shila memberitahu yang dia tidak melihat membuat persembahan secara berterusan sebagai punca kepada masalah dihadapinya. Ini termasuk tampil di pentas separuh akhir Muzik-Muzik 37 (SFMM37) pada Sabtu dan Shila berjaya menyanyikan lagu 'Khilaf Asmara' dan 'Bahagiakan Dia' duet bersama Liza Hanim dengan baik.

"Saya tak rasa terlalu banyak menyanyi menjadi punca sebab masa di SFMM37, suara saya tiada masalah dan syukur boleh membuat persembahan dengan baik," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: