28 November 2022

SYIFA MELVIN KINI SAH ISTERI SAFAWI RASID - KETUA JURULATIH HARIMAU MALAYA, KIM PAN-GON TURUT HADIR



Pada jam 8.46 malam tadi, pelakon dan pempengaruh media sosial Syifa Melvin telah sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Safawi Rasid dengan sekali lafaz.


Dalam satu majlis pernikahan yang diadakan secara tertutup di Hotel Hilton, Petaling Jaya, Syifa atau nama sebenarnya Nur Syifa Athirah Amirul Melvin, 28, dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Perkahwinan, Khairil Nizam yang berwakil walikan bapanya iaitu Amirul Melvin Abdullah.

Majlis pernikahan yang dihadiri lebih 300 tetamu dimana ia terdiri daripada keluarga terdekat dan kenalan rapat itu menyaksikan Safawi atau nama penuhnya Muhammad Safawi Rasid, 25, menyerahkan mas kahwin berupa sebentuk cincin kepada Syifa, manakala wang hantaran dirahsiakan. 

Antara artis yang turut hadir adalah kakak kepada Syifa iaitu pelakon Syatilla Melvin bersama suaminya, Shaheizy Sam, pasangan Uyaina Arshad dan Raja Syahiran serta Lia Natalia.

Klik untuk gambar besar



Apa yang menarik perhatian, barisan kejurulatihan Harimau Malaya turut hadir bagi memeriahkan majlis perkahwinan Safawi dengan Syifa. Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon dan pembantunya tiba pada 8 malam sebelum disambut oleh ahli keluarga Syifa.

Namun, kelibat pemain JDT tidak kelihatan kerana difahamkan mereka sedang mengharungi perlawanan persahabatan menentang kelab Jerman, Borussia Dortmund di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.

Seorang ahli keluarga pengantin lelaki yang ditemui memberitahu, sememangnya majlis pada malam ini tidak mahu dihebohkan atas permintaan kedua-dua pasangan itu.

"Memang malam ini hanya menjemput tetamu tertentu saja. Mungkin sebelah lelaki nanti akan dihebahkan dan menjemput tetamu lebih ramai," ujarnya.



Terdahulu, berita pernikahan pasangan tersebut kecoh di media sosial apabila kad undangan perkahwinan mereka tersebar namun Syifa atau Safawi masing-masing enggan mengesahkan perkara tersebut.

Safawi bagaimanapun memberitahu dia tidak berniat menyembunyikan perkahwinan tersebut sebaliknya lebih selesa ia tidak dihebohkan kepada orang ramai.

"Bukan saya tidak mahu beritahu media atau sombong, cuma kalau boleh saya punya perkahwinan nak ia berjalan dengan tenang dan tidak mahu kecoh-kecoh. Tarikh ini saya pilih sebab ada sesuatu yang istimewa," jelasnya.

Difahamkan, majlis bertandang bagi pihak lelaki akan diadakan pada 3 Disember ini. Pada malam Ahad, pasangan ini diraikan dalam majlis berinai.






         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: