24 November 2022

"TAK JANGKA PUN AKAN SAKIT TERUK BEGINI..." - BADAN MAFARIKHA DITEBUK KELUARKAN CECAIR DALAM PARU-PARU



"Masa hari pertama kena tebuk, terdapat 3.2 liter cecair keluar. Ia berterusan dan sehingga kini dan saya rasa sudah lebih empat liter cecair dikeluarkan. Bila terkena penyakit ini, paru-paru memang akan ada parut dan ambil masa lama untuk pulih.


"Paru-paru saya tidak lagi macam orang biasa lain yang sihat. Bila sudah ditebuk untuk keluarkan air, ada kemungkinan untuk angin pula masuk. Prosedurnya mudah tapi semua dibuat dalam keadaan sedar. Memang sakit sangat," kongsi penyanyi Mafarikha Akhir mengenai keadaan terkini dirinya.

Mafarikha atau Mafa, 29, kini terpaksa bertarung dengan jangkitan kuman di paru-paru selepas negatif C0V1D, selain sudah lebih sebulan ditahan di hospital.

Kata penyanyi lagu 'Angin' ini, badannya terpaksa ditebuk dua lubang di depan dan belakang bagi mengeluarkan cecair itu dan untuk proses sembuh, selepas terdapat cecair terkumpul di bahagian kanan paru-parunya.

Dalam pada itu, Mafa turut mengakui tidak pernah menyangka dia akan ditimpa dugaan besar itu, namun dia positif dan menikmati setiap hari dilaluinya sekarang.

Klik untuk gambar besar



"Perasaannya tak terkata. Tak jangka pun akan sakit teruk begini dan duduk hospital lama-lama. Saya memang tak tahu nak fikir apa untuk masa depan, hanya boleh fikir masa sekarang.

"Ada kalanya saya rasa sangat kecewa dengan diri sendiri kerana terlalu perlahan untuk pulih. Tapi saya kena terima proses itu memang akan mengambil masa yang agak panjang," katanya.

Menurut Mafa, dia juga tidak pasti berapa lama lagi dia boleh dibenarkan keluar dari hospital. Ini disebabkan dia masih perlu menjalani rawatan berterusan hingga benar-benar pulih.

"Saya masih perlu mengambil antibiotik selama enam minggu. Untuk benar-benar pulih, saya tidak pasti. Doktor cuma cakap memang agak lama," jelasnya.

Pada 24 Oktober lalu, Mafa dimasukkan ke wad kritikal di sebuah pusat perubatan di Kajang, Selangor selepas dijangkiti Covid-19 tahap lima dan berdepan kebimbangan sekiranya dia ditidurkan.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: