14 November 2022

VOKAL SESUAI LAGU, TERSINGKIR SEBAB ADA PESERTA LEBIH BAGUS - ASHEED DEF GAB C KAGUM DAPAT BERTAHAN, MESKIPUN SAKIT



"Lagu ini memang sesuai dengan vokal Asheed. Dia enjoy dengan persembahannya. Namun harus diingat, ini adalah pertandingan. Ada peserta lebih baik daripada Asheed."


Demikian jelas juri tetap Gegar Vaganza musim kesmbilan (GV9), Hetty Koes Endang berhubung perjalanan Asheed Def Gab C yang berakhir apabila diumumkan peserta tersingkir di peringkat suku akhir pertandingan berkenaan yang berlangsung pada malam Ahad.

Hetty memberitahu, lagu yang dinyanyikan Asheed iaitu 'Lena Diulit Intan' sesuai dengan vokalnya namun dia perlu berdepan dengan persembahan lebih hebat daripada peserta lain.

Ekoran itu, Asheed mendapat markah paling rendah dan terpaksa melupakan hasrat bertanding di peringkat separuh akhir minggu hadapan.

Dalam pada itu, Asheed berkata, dia tidak pernah menyangka mampu bertahan selama sembilan minggu dalam GV9, memandangkan tahap kesihatannya kurang baik disebabkan sakit sendi dihidapinya sejak 18 tahun lalu.

Klik untuk gambar besar



Tambah Asheed atau nama sebenarnya Mohd Ashid Ahmad, 49, sepanjang tempoh itu adakalanya dia hanya terlantar di rumah menahan kesakitan namun sejak menyertai GV9 dia sentiasa menguatkan diri apatah lagi jadualnya padat dengan pelbagai aktiviti.

"Saya pun tak sangka boleh bertahan selama ini. Kalau ikutkan sakit saya ini, memang kronik dan adakalanya dalam sebulan saya akan terlantar dua hingga tiga hari di rumah. Sejak masuk bertanding hanya semangat membuatkan saya bertahan. Syukur semuanya berjalan lancar dan dipermudahkan," ujarnya.

Ditanya mengenai kesihatannya, Asheed memberitahu, sebelum ini dia tidak pernah mendedahkan masalah tersebut malah masih menerima undangan nyanyian seperti biasa.

Asheed yang reda dengan ketentuan Allah itu juga tidak mahu menjadikan penyakit sebagai alasan dia berhenti menyanyi yang menjadi sumber rezeki buat dia dan keluarga.

"Selama ini saya tanggung sendiri sahaja. Hanya teman-teman rapat sahaja tahu tentang penyakit ini dan saya masih aktif menyanyi seperti biasa. Saya reda dengan apa yang telah Allah berikan ini.


"Mungkin ada hikmah di sebaliknya. Walaupun sakit, saya tetap kena bekerja dan tidak boleh nak mengharapkan orang sekeliling. Selagi ada tenaga saya akan terus terima undangan menyanyi," tuturnya.

Sementara itu, Asheed dalam masa sama turut berkongsi pengalaman sepanjang sembilan minggu berada di GV9 dimana dia melihat ia adalah satu platform terbaik untuk menimba ilmu menerusi komen juri selain latihan yang diberikan.

Kata Asheed lagi, dia tidak pernah melihat penyertaan penyanyi muda adalah satu saingan kerana dia percaya setiap peserta ada kelebihan tersendiri.

"Tidak semestinya bila umur dah nak masuk 50 kita tak boleh belajar. Banyak ilmu yang saya dapat sepanjang menyertai GV9 ini. Saya berpuas hati kerana dapat apa yang saya mahukan.

"Saya juga tidak rasa penyertaan dalam GV9 ini untuk berlawan dengan peserta lain. Saya tidak fikir pun tentang kedudukan selepas membuat persembahan. Tak salah rasanya saya sertai program ini," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: