15 March 2023

BERAT BADAN KINI 48 KG SELEPAS SUSUT 18 KG - YASIN SULAIMAN DEDAH HIDAP TIROID



"Seperti semua dapat lihat, saya kurus sekarang. Semasa masuk penjara dulu berat badan saya 66 kilogram dan sekarang 48 kilogram.

"Saya tidak mahu ada orang berandaian penjara tidak beri makan. Penjara banyak makanan sehingga melimpah ruah dan sebenarnya ramai saja banduan yang gemuk.



"Saya derita tiroid selama lima bulan tapi Alhamdulillah dengan bantuan dan pertolongan pihak penjara, saya mendapat ubat-ubatan serta menjalani rawatan susulan setiap bulan."

Itulah jelas penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman yang mendedahkan dirinya menderita penyakit tiroid sejak lima bulan lalu iaitu pada sekitar bulan November sehingga berat badannya turun 18 kilogram (kg) dan kini hanya 48 kilogram.



Menerusi Harian Metro, Yasin berkata, dia tidak mahu orang ramai beranggapan pihak Jabatan Penjara tidak memberi makan atau mengabaikan soal kebajikan disebabkan perubahan fizikalnya.

Sementara itu, peguam bela Yasin iaitu Ariff Azami Hussein memaklumkan, keadaan kesihatan anak guamnya akan dimasukkan ke dalam dokumen representasi keempat yang bakal difailkan dalam masa terdekat.

"Kita (pembelaan) tidak meminta sesuatu yang luar biasa atau 'miracle' tapi yang ada asas dan boleh dibenarkan undang-undang.

"Kita tetap yakin walaupun ditolak kali ketiga, kita akan masukkan lagi yang keempat mungkin dengan sedikit perubahan terma.

"Kita tetap optimis kes ini boleh diselesaikan tanpa melalui perbicaraan kerana Yasin adalah kategori tertuduh unik kerana seorang pesakit dan boleh diberikan peluang," ujarnya.

Terdahulu, Yasin didakwa menggunakan dadah jenis '11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid' di pejabat narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac 2022.

Yasin juga didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis, di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada 5.30 petang, tarikh sama. .

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: