19 April 2023

DILIMPAHI REZEKI SELEPAS TUMPANG NABILA RAZALI - ABANG MOTOR TERKEJUT DAPAT BAJU MELAYU & DUIT RAYA



Rezeki menjelang hari raya... demikianlah yang diperolehi seorang penunggang motosikal, Ahmad Zakir Zainuddin, 29, apabila dihadiahkan sepasang bajuMelayu berserta sampul berisi duit raya sebagai tanda terima kasih daripada penyanyi dan pelakon Nabila Razali yang berasa terharu atas sikap prihatinnya dan bantuan diberikan.

"Dari kejauhan saya nampak ada tangan melambai dari dalam kereta. Saya berhenti sebab sangka kenderaan itu rosak... rupa-rupanya Nabila Razali minta tumpang sebab dia sudah lambat menghadiri sebuah acara.Saya pada awalnya tolak permintaan Nabila membonceng motosikal saya kerana motor kecil namun pengurusnya tetap meminta bantuan dan saya setuju.


"Jaraknya tidaklah jauh, hanya lebih kurang satu kilometer sahaja. Kata Nabila dia sudah menahan beberapa motosikal lain namun tidak ada yang berhenti. Selepas hantar Nabila dia ada minta nombor telefon, mulanya saya pun pelik juga... sehari kemudian dia hubungi minta alamat. Tak sangka pula Nabila nak hantar hadiah. Saya tolong ikhlas dan bukannya mengharapkan balasan.

"Apabila saya terima bungkusan tersebut, saya terkejut sebab banyak juga duit raya yang diberikan," cerita Zakir yang turut memberitahu, dia dalam perjalanan pulang ke rumah dari majlis berbuka puasa, sebelum berasa terkejut apabila penyanyi lagu 'Peluang Kedua' itu meminta bantuannya menghantarnya ke lokasi dituju memandangkan jalan raya yang begitu sesak.

Klik untuk gambar besar



"Memanglah teruja dapat jumpa artis. Walaupun dalam video yang tular itu tidak nampak muka saya, tapi ramai orang yang sudah mula bercakap. Saya takut nak jadi popular. Harap orang lupa kisah ini. Biarlah saya sahaja yang ingat," jelasnya lagi.

Sejak Isnin, video memperlihatkan Nabila yang memakai baju kurung membonceng sebuah motosikal tular di laman sosial sehingga ramai meluahkan rasa cemburu dan menyifatkan lelaki itu bertuah. Kejadian berlaku di Jalan Ipoh ketika Nabila terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan ke Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2023 yang diadakan di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) Kuala Lumpur,pada malam Ahad lalu.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: