08 April 2023

"TERINGIN NAK KE BAZAAR RAMADHAN, TAPI TAKDE PARKING OKU" - BAD INDIGO



Penyanyi Bad Indigo atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, mengakui rindu menjejak kaki ke bazar Ramadan selepas dua tahun tidak mengunjunginya, namun terpaksa melupakan hasrat itu kerana tiada kemudahan tempat letak kereta bagi Orang Kurang Upaya (OKU) disediakan di kawasan berkenaan.

"Saya cuma rindu suasana nak ke bazar Ramadan kerana dengan keadaan saya sekarang, memang susah nak jejak ke bazar kerana tiada kemudahan parking OKU. Kalau kena parking jauh, saya memang tak larat nak jalan. Lagi pun, saya pakai walker, jadi agak susah. Bukannya apa, kadang tengok orang muat naik gambar pergi bazar, timbul pula rasa rindu nak ke sana," kata Bad.


Bagaimanapun, Bad yang kini bekerja di sebuah bengkel di Bukit Permai, Ampang, tetap bersyukur kerana masih mampu membeli makanan di restoran berhampiran, mahupun membeli juadah berbuka puasa dengan bantuan rakan sekerja dan masyarakat disekelilingnya.

"Saya sekarang kerja di bengkel. Kalau budak-budak bengkel pergi beli juadah berbuka, saya pesan saja pada mereka. Kadang-kadang, saya bawa kerusi roda naik ke jalan besar untuk melihat apa juadah yang dijual di kedai makan sekeliling. Orang-orang dekat sini semua dah kenal saya. Kalau saya nak lintas jalan, mereka akan tahankan kereta untuk beri saya laluan.

Klik untuk gambar besar



"Alhamdulillah, mereka semua memang baik dan segala urusan saya juga dipermudahkan. Saya tahu bukan mudah untuk pihak berkuasa menyediakan parking OKU di bazar Ramadan. Namun, sekiranya ada pihak-pihak yang boleh melihat akan masalah ini, saya harap mereka dapatlah lakukan sesuatu.

"Sebelum saya jadi OKU, saya sendiri tidak tahu individu OKU berdepan dengan banyak masalah. Contohnya kalau saya ke pusat membeli-belah juga, banyak kedai yang sukar untuk saya masuk sebab sempit. Bad masih mampu menguruskan diri sendiri. Jadi saya akui kemudahan OKU di negara kita sebenarnya masih belum meluas dan mungkin kurangnya kesedaran tentang perkara ini," ujarnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: