14 June 2023

PUTERI SARAH TIDAK LETAKKAN HAD BERTEMU ANAK-ANAK - SYAMSUL YUSOF PERLU BAYAR NAFKAH RM6,000 SEBULAN & EDAH RM15,000



"Saya tidak letakkan had untuk Syamsul bertemu anak-anak dan dia boleh datang bila-bila masa saja. Tiada juga hari tertentu yang saya tetapkan.
"Mereka (anak-anak) wajib untuk pergi ke mana-mana majlis kedua-dua belah keluarga. Ini kerana, kami berpisah secara baik demi kebaikan mereka," kata pelakon Puteri Sarah Liyana, 38, yang difahamkan memegang hak penjagaan anak.

"Kalau nak cakap tentang perasaan, saya tak tahu nak gambarkan macam mana. Cuma, sekarang ini rasa lega kerana segala sudah berakhir dengan baik," jelas Puteri Sarah lagi, dimana dia kini sudah boleh terbang bebas selepas diceraikan secara baik pada jam 12.25 tengah hari tadi.

Klik untuk gambar besar
Keputusan bercerai talak satu itu sepakat dicapai oleh Puteri Sarah dan bekas suaminya, pengarah Syamsul demi memikirkan kebahagiaan dua cahaya mata mereka iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Dalam pada itu, Puteri Sarah bagaimanapun enggan mengulas mengenai sama ada dia sudah menggugurkan saman yang difailkan terhadap isteri kedua Syamsul iaitu Ira Kazar.
"Saya tak boleh dedahkan buat masa ini," kata Puteri Sarah atau nama penuhnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, secara ringkas.

Sementara itu, atas persetujuan bersama, mahkamah merekodkan, Syamsul membayar nafkah bulanan RM6,000 kepada dua anak mereka serta nafkah edah buat Puteri Sarah sebanyak RM15,000 untuk tiga bulan.

Ketika di mahkamah, Puteri Sarah dilihat sempat bersalaman mencium tangan dengan Syamsul sebelum melepaskan statusnya sebagai isterinya.

         ________________________

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: