10 July 2023

7 TAHUN BERTARUNG, BERKORBAN MASA - AMIR MASDI AKHIRNYA LANCAR ALBUM SULUNG



Selepas tujuh tahun bertungkus-lumus sebagai anak seni, penyanyi Amir Masdi, 27, akhirnya berjaya menghasilkan album sulungnya berjudul AMIR MASDI yang dilancarkan pada 7 Julai lalu dan ia amat bermakna baginya.
Berbanding penyanyi lain yang pantas mencipta populariti, laluan Amir atau nama penuhnya Amir Syazwan Masdi, untuk sampai ke tahap hari ini agak sukar, meskipun pernah bergelar juara program Akademi Fantasia (AF) 2016. Ini kerana gelaran tersebut bukanlah tiket untuknya diterima mudah dalam dunia seni.

Berbekalkan kecekalan diri, Amir mengakui, terlalu banyak halangan terpaksa dihadapi sebelum apa yang dihajati menjadi kenyataan, termasuklah masa bersama kawan-kawan dan pencarian cinta yang diketepikan bagi memberi fokus terhadap penghasilan album terbarunya yang memuatkan 12 lagu.

Klik untuk gambar besar
"Album ini berkonsepkan matahari kerana ia adalah salah satu sumber utama kita dalam kehidupan. Matahari juga ada 'sunrise' dan 'sunset', jadi album ini adalah 'sunrise' atau boleh dikatakan kelahiran pertama saya. Ia juga ibarat cahaya pertama yang menyinari karier saya.

"Album ini ada sejumlah 12 lagu termasuk yang sudah pernah dikeluarkan sebelum ini dan juga lagu baharu yang saya tulis bersama beberapa penulis lirik dan komposer lain sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) lagi.

"Sebenarnya, perancangan untuk hasilkan album ini sudah lama dan ia adalah impian saya sejak dulu lagi. Bukan saja hadiah buat peminat, tetapi ia juga satu kejayaan peribadi buat saya sebagai seorang penyanyi. Bagi saya, tidak lengkap sekiranya seseorang penyanyi itu tiada album. Album juga menjadi satu kekuatan buat seorang penyanyi kerana dia boleh persembahkan karya penuhnya dalam satu pakej kepada umum.
"Saya terpaksa mengorbankan masa lepak malam-malam demi menghasilkan album ini. Mujur rakan-rakan juga memahami apabila saya kurang masa bersama mereka memandangkan penghasilan album ini memerlukan komitmen tinggi. Bukan soal lepak saja, banyak lagi yang terpaksa dilepaskan untuk memberikan sepenuh tumpuan menghasilkan album ini.

"Soal cinta pun tiada buat masa ini kerana saya tidak mencari, namun jika jodoh datang sendiri itu perkara berbeza. Pada mulanya saya meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia 30 tahun, tetapi nampaknya terpaksa dianjakkan kerana belum mempunyai teman istimewa. Ibu juga tidak memaksa sebaliknya menyokong penuh keputusan saya," ujarnya.

Dalam pada itu, Amir turut berkongsi dimana dia juga seorang pelabur yang juga mengeluarkan kos sendiri selain dibantu oleh pihak Nova Music dalam proses rakaman. Bukan itu sahaja, album AMIR MASDI dilihat melawan arus apabila ia bukan saja dilancarkan di semua platform digital tapi juga diterbitkan dalam bentuk fizikal.
"Memang ramai akan persoalkan sekiranya album dikeluarkan dalam bentuk fizikal ketika ini. Memang akan ada rasa kurang yakin bila mahu lancarkan album secara fizikal sebab tak pasti sama ada orang nak beli ke tak. Pada saya, itu adalah perkara kedua. Yang penting, saya hasilkan sebuah buah tangan peribadi bagi semua peminat. Ia juga memenuhi impian saya selama ini.

"Saya yakin ada golongan peminat yang mahukan satu hasil karya yang boleh dipegang dan menjadi barangan simpanan peribadi. Saya juga percaya album fizikal ada nilai sentimental berbanding album digital. Album fizikal ini juga boleh mengimbau kenangan lalu 10 hingga 20 tahun di masa depan.

"Album ini memang saya dan pengurus keluarkan modal sendiri untuk menghasilkannya dan pihak Nova Music turut membantu dari segi mempermudahkan proses rakaman. Ini boleh dikatakan loncatan 'berani mati', tapi saya percaya semuanya akan berakhir dengan baik. Walaupun mungkin tidak dapat pulangan dari modal yang dikeluarkan, tidak mengapa sebab apa yang penting album ini sudah terhasil," jelasnya.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: