29 July 2023

AL-FATIHAH - ZACK IDRIS KEMBALI KE RAHMATULLAH



Petang semalam, pelakon dan pengarah era 1990-an, Zack Idris atau nama sebenarnya Mohd Idris, telah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Shah Alam pada usia 53 tahun.
Menurut bekas isterinya iaitu Aliza Rafar, Zack ditidurkan sejak malam kelmarin selepas dikejarkan ke hospital akibat muntah dan pitam. Tambahnya lagi, Zack mengadu kepada anak-anaknya kelmarin bahawa dia rasa lemah dan rasa tidak berdaya.

"Tadi, saya pulang ke rumah dari hospital dan sampai sahaja di rumah, lebih kurang waktu Asar, saya dimaklumkan bahawa arwah sudah tiada. Berdasarkan apa yang saya faham, ia berkaitan dengan kandungan air dalam badan dan dia ada komplikasi jantung.

"Arwah pernah menjalani pembedahan pada 13 tahun lalu. Semalam (kelmarin), dia rasa lemah dan tak berdaya. Katanya, rasa nak pitam. Jadi, dia berbaring.

"Bila dia bangun untuk makan dan minum, dia muntah. Kemudian, kepalanya mula rasa pening. Jadi, anak ajak dia ke hospital. Bila sampai ke hospital, doktor maklumkan bahawa badannya dah teruk.

"Jadi, dia terus dimasukkan ke zon merah kecemasan dan diberi bantuan oksigen seterusnya ditidurkan sejak malam semalam," jelasnya.

Untuk makluman, Zack dan Aliza pernah berumah tangga selama 18 tahun sebelum bercerai lapan tahun lalu. Perkahwinan mereka dikurniakan empat cahaya mata.

Sebelum ini, Zack aktif sebagai pelakon dan pengarah, namun, bersara dari dunia seni dan banyak menghabiskan waktu untuk menjaga ibunya di kampung.

Antara karya-karya yang membabitkan namanya adalah filem-filem seperti 'Johnny Bikin Filem', 'Penyair Malam', 'Syukur 21', 'Black Maria' dan 'Cendol: Kepada Allah Aku Berserah' selain teater 'Sultan Alauddin Riayat'.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: