Pada jam 1.30 tengahari, hari ini, penyanyi yang dikenali sebagai klon Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Fairuz Misran telah dilaporkan meninggal dunia pada usia 38 tahun.
Allahyarham yang juga Juara Bintang P Ramlee 2012 itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Licious Labuan.
Berita pemergian penyanyi lagu 'Untukmu' itu dikongsi abangnya Ruzaidi Misran dan beberapa penggiat seni lain menerusi media sosial.
"Innalillahiwainnahirojiun. Menerima perkhabaran sedih bahawa adik yang disayangi Fairuz Misran telah kembali ke Rahmatullah baru sebentar tadi.
"Mohon semua agar mendoakan dan sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan dalam kalangan orang yang beriman. Al Fatihah," katanya.
Klik untuk gambar besar
Difahamkan, Allahyarham Fairuz Misran dikatakan mengalami sakit dada sebelum pengsan dan dibawa ke hospital.
Jelas adiknya iaitu Sazlieyanti menerusi satu hantaran di Facebook, pihak hospital memaklumkan kepada dia dan keluarganya bahawa abangnya sudah meninggal dunia sebaik menerima rawatan di hospital.
"Ramai yang bertanya mengenai penyebab arwah meninggal dunia. Alhamdulillah arwah pergi dengan senang. Hanya sakit dada dan pengsan sebelum dibawa ke hospital. Setibanya di hospital, kami dimaklumkan arwah sudah tiada," tuturnya.
Kongsi Sazlieyanti, jenazah Allahyarham Fairuz Misran akan dikebumikan sama ada di kampung isterinya di Labuan atau di Kimanis, Papar iaitu kampung Allahyarham.
"Terima kasih juga untuk semua yang tidak berhenti mendoakan beliau dan sedekahkan al-Fatihah," katanya.
Untuk makluman, Fairuz dilahirkan di Sandakan, Sabah, namun dibesarkan di Papar sebelum menetap di Labuan.
Pakej yang ada padanya merangkumi penampilan rupa paras dan vokal mirip P Ramlee membuatkan dia cepat dikenali.
Dia juga pernah berduet dengan Baby Shima menerusi lagu 'Ikatan Asmara' dan 'Bak Zaman'.
________________________
JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!
-
:: FACEBOOK 2 :: FB GROUPS :: INSTAGRAM :: TWITTER ::
:: YOUTUBE :: SANTAI :: SEJARAH MYARTIS ::
No comments:
Post a Comment