03 September 2023

RAWATAN TULANG BELAKANG, SARAF ISTERI - SAZALI TERHARU, LUAH RASA SYUKUR PERDANA MENTERI HULUR SUMBANGAN



"Isteri saya sudah lama menderita masalah tulang belakang dan saraf di leher. Dia memang perlukan rawatan segera di hospital dan saya memang sudah lama berusaha mendapatkan bantuan daripada pelbagai agensi termasuk Perdana Menteri sebelum ini.
"Alhamdulillah semalam (kelmarin) saya mendapat kunjungan daripada wakil Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sanggup menghulurkan sedikit sumbangan.

"Saya rasa amat terharu dengan keprihatinan beliau memandangkan keadaan isteri saya sekarang ini pun sukar untuk berjalan dan berdiri secara normal."

Demikian kata anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali, 64, yang menzahirkan rasa terharu kepada Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup menghulurkan sumbangan bagi membantu kos rawatan isterinya, Hamidah Hitam, 61, yang menghadapi masalah tulang belakang dan saraf di leher.

Klik untuk gambar besar
Ketika dihubungi, Sazali berkata, biarpun impiannya untuk bertemu Perdana Menteri tidak kesampaian, namun dia tetap bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan beliau melalui Setiausaha Politik, Farhan Fauzi.

Menerusi perkongsian di Facebook kelmarin, Anwar memaklumkan, kunjungan Setiausaha Politiknya di kediaman Sazali dan berharap sumbangan yang diberikan dapat meringankan beban Sazali sekeluarga.

"Baru-baru ini timbul laporan yang memberitakan penderitaan yang merundung saudara Sazali yang juga anak kepada Seniman Agung Negara, Allahyarham P Ramlee.
"Malang buat beliau tatkala terbabit dengan kemalangan sehingga jatuh dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak lagi punya kekuatan untuk bekerja dan mencari rezeki. Kini isterinya memerlukan perhatian dan rawatan segera dari doktor akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher.

"Lantaran itu, saya telah mengutuskan Setiausaha Politik saya saudara Ahmad Farhan Fauzi untuk segera ketemu saudara Sazali dan menyampaikan bantuan daripada pihak saya. Alhamdulillah, saudara Farhan telah berjumpa Sazali petang tadi (kelmarin).

"Saya amat berharap sedikit sumbangan dari pihak saya ini dapat meredakan beban yang ditanggung Sazali dan isteri. Saya mendoakan urusan rawatan dipermudah serta lekas diberi kesembuhan oleh Allah SWT, Insya-Allah," tulisnya.
Terdahulu, media melaporkan Sazali memohon bantuan kewangan buat isterinya yang akan menjalani pembedahan akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher.

Sazali juga berdepan masalah kesihatan dan sudah tidak boleh bekerja seperti dahulu. Pendapatan daripada royalti arwah bapanya yang diterima setiap tahun memang menjadi sumber kewangan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Malah, bayaran royalti terakhir P Ramlee untuk bahagiannya yang terima pada 31 Julai lalu daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) hanya kira-kira RM9,000 saja dan tidak cukup untuk menampung kos pembedahan isteri yang dimaklumkan sekitar RM14,000.

Sebelum ini, permohonan lanjutan kontrak royalti P Ramlee yang disuarakannya diharapkan dapat diselesaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub, namun beliau meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

         ________________________

JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: