27 October 2023

BERJAYA DALAM RAYUAN - AMELIA HENDERSON LUAH RASA LEGA & SYUKUR



Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, telah membenarkan rayuan yang dibuat pelakon Amelia Henderson atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, selaku pemohon, selain meneliti segala rekod rayuan secara maksimum dan hujah kedua-dua pihak.
Amelia meluahkan rasa lega dan syukur apabila dia berjaya dalam rayuan selepas Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong mengetepikan bayaran ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd dalam isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

Dalam pada itu, mengenai isu fitnah, Amelia berkata, hakim juga memutuskan video yang dimuat naiknya di Instagram tahun lalu tiada apa-apa unsur fitnah seperti yang didakwa produksi A Aida Production Sdn Bhd.

"Saya tidak perlu 'delete' (padam) video itu atau bayar ganti rugi. Berhubung isu langgar kontrak pula, saya juga gembira kerana pihak mahkamah sudah mengurangkan daripada RM200,000 yang dituntut pihak produksi terbabit kepada RM10,000 saja. Terima kasih kepada semua pihak yang beri kepercayaan kepada saya selama ini," katanya.

Bagaimanapun, mahkamah telah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi nominal RM10,000 dalam tempoh 14 hari dan faedah lima peratus kepada syarikat produksi bermula hari ini.

Dalam prosiding secara dalam talian itu, Amelia diwakili peguam Mansheel Kaur, manakala peguam Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi itu selaku responden.

Amelia sebelum ini memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang memerintahkannya membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd pada 18 April lalu.

Pada 7 April lalu, Amelia diperintah membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi pengarah terkenal itu.

Hakim Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang difailkan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Penghakiman di Mahkamah Sesyen itu mengatakan mahkamah mendapati Amelia diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama 'Sekali Lagi Cinta Kembali'.

Untuk rekod, sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plaintif termasuk A Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.

Sementara Amelia tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul 'Sekali Lagi Cinta Kembali'.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: