"Kami mengambil keputusan untuk berpisah secara baik pada awal tahun ini," jelas bekas pengacara program Malaysia Hari Ini (MHI), Nadia Annuar, 39, yang mengesahkan sudah bercerai dengan usahawan Hafiz Salleh sejak awal tahun ini.
Jelas Nadia, dia reda apabila perkahwinan keduanya itu tidak menemui kebahagiaan dan hanya mampu bertahan selama lapan tahun.
"Masalah antara kami sudah berlarutan untuk beberapa tahun selepas tiada persefahaman. Perpisahan ini bukan satu keputusan yang mudah, lebih-lebih lagi kehidupan yang diharapkan berkekalan hingga akhir hayat tidak berkekalan.
"Saya reda dengan ketentuan ini. Bagi saya, kegagalan dalam rumah tangga tidak boleh menyalahkan satu pihak saja, sebaliknya ia berpunca daripada kedua-dua belah pihak yang sudah tidak lagi serasi.
"Orang luar mungkin boleh cakap nak cipta keserasian ini mudah, tapi hakikatnya hanya yang melalui saja lebih merasainya. Jadi saya mengambil pendekatan untuk tidak menyalahkan sesiapa, sebaliknya berusaha menjadi ibu yang terbaik untuk anak-anak saya," katanya.
Klik untuk gambar besar
Menurut Nadia, walaupun kedua-dua anaknya tidak tinggal bersamanya, namun sebagai ibu, dia sentiasa cuba memberikan sepenuh kasih sayang kepada mereka.
"Menerusi perkahwinan pertama saya dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Aaron Erwin, namun hak penjagaan diberikan kepada bekas suami selepas melalui proses perbicaraan yang panjang dan rumit.
"Namun untuk hak penjagaan untuk puteri tercinta, Dya Naylaa, saya dan Hafiz memilih untuk menjaga anak kami bersama-sama memandangkan perpisahan ini berlangsung dengan harmoni. Jadi, buat sementara waktu Dya menetap di rumah bapanya kerana mudah untuk urusan persekolahan.
"Walaupun begitu, boleh dikatakan setiap hari saya berjumpa dengan Dya. Saya enggan hubungan saya dengan anak-anak renggang. Kami cuba memberikan sepenuh perhatian kepadanya," katanya.
Dalam masa sama, Nadia turut mengingatkan setiap pasangan yang dilanda masalah rumah tangga supaya menyelesaikannya dengan baik dan tidak mendedahkan punca perceraian kepada umum.
"Tidak kira anda selebriti atau tidak, jangan sesekali menjaja punca perceraian anda kepada umum. Takkan anda mahu anak-anak melihat pergaduhan yang berlaku di internet apabila mereka sudah meningkat dewasa," tuturnya.
Untuk makluman, Nadia mendirikan rumah tangga bersama Hafiz pada November 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Dya Naylaa, 7.
Sebelum itu, Nadia pernah berkahwin bersama Datuk Sulaiman@Mohd Helmi Mohd Ilyas dan bercerai pada Oktober 2010. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Aaron Erwin, 16.
________________________
JOM LAWAT FACEBOOK TERBARU KAMI :
KLIK DI SINI..!!
-
:: FACEBOOK 2 :: FB GROUPS :: INSTAGRAM :: TWITTER ::
:: YOUTUBE :: SANTAI :: SEJARAH MYARTIS ::
No comments:
Post a Comment