16 October 2023
HARUN HASHIM BERHASRAT MAHU SEWA KEDAI, BUKAN NAK BANTUAN PERCUMA
"Saya berdepan kesukaran untuk mencari lokasi sesuai. Ada yang lokasinya okey tapi pemiliknya enggan sewakan. Ada pula harga yang ditetapkan tinggi dan saya tak mampu bayar.
"Kalau boleh saya minta jasa baik pihak Majlis Perbandaran atau pihak berkuasa tempat (PBT) seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK) atau Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berikan lokasi yang sesuai untuk saya sewa sebagai kedai pameran.
"Saya bukan meminta bantuan tapi nak menyewa. Yang penting lokasinya di kawasan orang lalu lalang. Kedainya sederhana besar pun tak apa asalkan sewa berpatutan."
Itulah kata pelakon versatil Harun Hashim, 68, yang melahirkan hasrat untuk menyewa sebuah kedai, dimana ia akan dijadikan tempat pameran kepuk kubur dan batu nisan kepada sesiapa yang berminat untuk membuat tempahan.
Bercerita lanjut, Harun yang kini menjadi duta kepuk kubur dan batu nisan Fitrah Enterprise itu berkata, dia bertemu dengan pemilik Fitrah Enterprise, Baharudin Hassan dua tahun lalu untuk menempah kepuk dan batu nisan untuk Allahyarham Abam Bocey dan sejak itu tertarik untuk bekerjasama.
"Syarikat ini terbabit dengan program di bawah Teraju Ekonomi Asnaf (Teras), Lembaga Zakat Selangor dan saya tertarik kerana dapat juga mencari rezeki dan pahala membantu golongan yang disasarkan menyempurnakan kepuk dan batu nisan untuk ahli keluarga mereka.
"Sebagai anak seni, saya berniat nak tolong artis sempurnakan kepuk dan batu nisan mengikut syarat tertentu yang ditetapkan. Setakat ini saya sudah berjaya menyempurnakan kepuk untuk arwah Abam dan emaknya serta anak Ali Puteh.
"Saya berterima kasih kepada Yop (Baharudin) kerana bagi peluang ini. Mereka yang berminat boleh hubungi saya untuk tujuan terbabit," tuturnya.
Sementara itu, mengenai perkembangan seni pula, Harun menjelaskan, dia baru selesai membintangi drama 26 episod untuk Awesome TV.
"Tawaran itu ada tapi tidaklah banyak. Ia datang dari kawan-kawan lama," ujarnya.
Dalam pada itu, isteri kepada Harun iaitu Nor Sakina memberitahu, kehidupan mereka susah tetapi mereka tidak mengadu kepada mana-mana pihak.
"Saya cari rezeki tambahan dengan memasak nasi Arab dan menjual kuih muih. Nasi Arab dijual di Masjid Bukit Kapar 2 pada Jumaat. Saya buka payung jual sendiri.
"Kalau abang Harun tiada shooting, bolehlah untuk tampung hidup. Saya pun jual kerepek, bila orang tempah saya buatlah. Tapi dia rindu dengan lakonan. Saya selalu beri semangat padanya, kata belum ada rezeki.
"Tapi dia minat berlakon dan tak boleh buat kerja lain. Yang boleh hanyalah berlakon. Bila berlakon, dia akan sihat. Kalau tak berlakon, dah macam orang sakit," katanya.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment