29 October 2023

SELAMAT DIKEBUMIKAN - IBU REDA, SIFATKAN ARWAH BADRUL MUHAYAT SEORANG ANAK YANG BAIK



Pada sekitar jam 9.45 pagi tadi, jenazah pelakon Allahyarham Badrul Muhayat, 55, telah pun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda.
Jenazah Badrul yang meninggal di sebuah homestay di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, pagi semalam itu dibawa ke Kuala Lumpur jam 7.40 petang dan tiba di Masjid Al-Hidayah, Sentul jam 12 tengah malam tadi.

Jenazah kemudiannya dimandi dan dikafankan, sebelum disembahyangkan oleh lebih 100 jemaah termasuk rakan-rakan industri.

Antara yang hadir bagi memberi penghormatan terakhir ialah Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi, rakan pelakon antaranya Azhar Sulaiman, Azri Iskandar, Ellie Suriaty, Datuk Fauziah Nawi dan Didie Alias.

Sementara itu, ibu kepada Allahyarham Badrul iaitu Datin Zaharah Othman, 75, memaklumkan, ketika diberitahu mengenai kematian anak sulungnya itu, seluruh anggotanya lemah dan kemudiannya dapat menenangkan diri serta reda menerima berita sedih itu daripada anaknya yang lain.

"Kali terakhir kami berjumpa sekitar dua minggu yang lalu. Dia seorang anak yang baik dan sering layan saya dengan baik. Dia milik Allah dan saya tak menyalahkan takdir atas ketiadaannya.

"Badrul anak sulung kepada enam adik-beradik, jadi sekarang tinggal lima sahaja tapi semua sudah berkahwin dan ada rumah tangga masing-masing.

Klik untuk gambar besar
"Bila saya dapat tahu berita pemergian Badrul dari anak yang lain, kaki saya terus lemah. Dia katakan pada saya tenang tapi dia yang menangis dulu kemudian baru dia mengatakan abang long sudah tiada.

"Bila dia cakap begitu, saya pun samalah menangis tapi saya reda sebab Allah nak ambil bila-bila masa. Jadi saya terima tapi saya sebagai ibu sudah tentu menangis kerana sayangkan dia," ujar Zaharah yang turut berkata, Allahyarham Badrul rajin menelefonnya dan setiap hari akan menghubunginya.

"Memang dia pernah cakap pada saya kalau dia pergi macam mana, nak buat macam mana, saya reda sahajalah sebab semua pergi, kita pula tak tahu bila. Dia juga ada cakap mengenai majlis resepsi Disember ini tapi apakan daya dia dah tiada," tuturnya.

Sementara itu, anak sulung Badrul iaitu Nur Delisha, 16, yang tidak dapat menahan sebak ketika ditemubual di Masjid Al-Hidayah, di sini, memberitahu, arwah bapanya itu seorang yang selalu mengambil berat mengenai dia dan adiknya, Badrul Hidayat, 14, yang tinggal bersama ibu mereka, Julia Daud (bekas isteri Badrul) di Slim River, Perak.

"Saya sedih dan terkejut sebab malam sebelum itu, papa kata mahu masukkan 'top up' tapi tahu-tahu esoknya papa sudah tiada. Saya dapat tahu pun dari sepupu saya, saya tak percaya pada mulanya dan adik pun tak percaya, dia duduk dalam bilik menangis seorang diri.

"Kami ada berjumpa kelmarin sebelum dia ke Pulau Pinang sebab dia lalu dan singgah sekejap ajak kami makan. Tak percaya papa sudah tiada sebab kalau dia ada dia selalu bertanya khabar kami, pagi petang dan malam.

"Dia ucap 'good morning' dan 'good night' kemudian tanya sudah makan atau belum, sudah solat atau belum. Dia memang selalu telefon, saja-saja telefon bercakap dengan kami. Dia seorang papa yang sangat mengambil berat," jelasnya.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: