07 November 2023
AL-FATIHAH - JEPP SALY KEMBALI KE RAHMATULLAH
Sekitar jam 8.20 malam semalam, penyanyi, pelakon dan penerbit drama iaitu Mohd Hanafiah Saly atau lebih dikenali sebagai Jepp Saly dilaporkan telah meninggal dunia akibat penyakit kanser hati tahap empat di kediamannya di Bukit Beruntung Rawang.
Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah berkata, Allahyarham juga pernah menjadi Ahli Jawatan Kuasa (AJK) persatuan terbabit suatu ketika dulu.
"Sepanjang berkhidmat sebagai Exco Seniman, Allahyarham seorang yang amat bertanggungjawab dan berdedikasi dalam menjalankan tugasnya.
"Allahyarham meninggal dunia disebabkan penyakit kanser hati tahap empat yang dihidapi sejak kebelakangan ini dan meninggalkan empat orang anak dan seorang balu.
"Seluruh kepimpinan tertinggi Seniman dan barisan Exco mengucapkan salam takziah kepada keluarga arwah dan didoakan semoga ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman," katanya.
Klik untuk gambar besar
Berita pemergian Jepp Saly turut dikongsi oleh beberapa penggiat seni, antaranya Salwa Abdul Rahman.
Semasa hayatnya, arwah Jepp Saly aktif membantu golongan kurang bernasib baik antaranya menerusi penganjuran Tabung Bantuan Mangsa Banjir pada Disember 2015.
Pada September 2015, Allahyarham juga pernah membantu golongan artis bernasib malang menerusi program Jelajah Jualan Amal Selebriti yang berlangsung di Selayang Mall, Selangor.
Tidak terkecuali, arwah Jepp Saly menerusi syarikatnya, Trans Malaya Borneo turut membantu Penyunting Eksekutif Harian Metro, Allahyarham Efindi Baharuddin yang ketika itu menghidap barah serta jurugambar Utusan Malaysia, Ghazali Basri yang mengalami strok.
Difahamkan, jenazah Jepp Saly dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Sentosa, Rawang jam 10 pagi tadi.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment