09 November 2023

AL-FATIHAH - TIA JINBARA DIJEMPUT ILAHI, ISTERI REDA TAK SEMPAT DERMA HATI



"Saya tak sangka arwah pergi secepat ini. Namun, saya reda, mungkin inilah jalan terbaik buatnya daripada menanggung kesakitan. Takdir Allah tiada siapa dapat menduga.
"Pada siangnya, keadaan kesihatan arwah masih stabil, namun doktor mendapati arwah mengalami pendarahan dalaman. Ketika doktor sedang memberikan rawatan, ketika itulah arwah menghembuskan nafas terakhir. Saya memang berada di sisi arwah."

Demikian tutur Suzan Ahmad, 48, dengan nada sebak apabila suaminya yang juga bekas vokalis Kumpulan Jinbara, Tia, 53, disahkan meninggal dunia pada jam 9.17 malam semalam.

Jenazah Tia atau nama sebenarnya, Shamsul Bakhtiar Zakaria yang menghembuskan nafas terakhir di sisi Suzan ketika sedang menerima rawatan doktor di Hospital Shah Alam itu difahamkan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kota Raja pagi ini.

Dalam pada itu, tiada apa lebih diharapkan oleh isteri melainkan mahu melihat suami yang sedang berjuang melawan penyakit kanser hati tahap empat kembali sembuh.

Namun, takdir Allah mendahului segala-galanya. Baru sahaja menubuhkan tabung bantuan Tia Jinbara untuk mencari dana berjumlah RM250,000 bagi membolehkan pembedahan pemindahan hati dilakukan di Hospital Medanta, New Delhi, India, penyanyi lagu 'Farhana' itu terlebih dahulu dijemput Ilahi.

Suzan yang reda atas pemergian suaminya itu, biarpun tidak menjangka terlalu cepat arwah menutup mata, berkata, dia juga sanggup berkorban mendermakan hatinya buat arwah suami demi kasih, sayang dan cinta tidak berbelah-bahagi.

Meskipun berdepan risiko tinggi, Suzan bersedia kehilangan nyawa, asalkan suaminya dapat terus bernyawa.

Jelasnya, berdasarkan beberapa kriteria menerusi pembacaan, dirinya layak mendermakan hati kerana memiliki darah sama iaitu A+ dan keadaan kesihatannya juga baik.

Klik untuk gambar besar
"Jika itu (derma hati) dapat bantu selamatkan nyawa Tia, saya sanggup lakukan apa sahaja demi pastikan suami kembali sihat.

"Saya tidak boleh duduk diam tanpa berbuat apa-apa. Saya tak nak hanya melihat suami 'pergi' tanpa berusaha.

"Jika ditakdirkan nyawa saya tidak panjang selepas pembedahan pemindahan hati, saya reda dan bersedia kerana anak-anak pun sudah besar," katanya.

Tambah Suzan lagi, biarpun kelihatan bersemangat untuk melawan penyakit, arwah menyatakan masih belum bersedia untuk 'pergi'.

"Arwah memang bersemangat nak sihat sebab nak tengok anak-anak terima skrol. Walaupun hanya bapa tiri, tapi arwah adalah bapa yang penyayang.

"Beliau menyayangi tiga anak saya menerusi perkahwinan terdahulu seperti darah daging sendiri. Anak-anak membesar dengannya sejak kecil sehinggalah dewasa. Arwah juga mengajar anak-anak mengaji.

"Arwah selalu cakap kepada anak-anak yang dia ajar mengaji supaya mereka dapat mengaji untuknya suatu hari nanti. Beliau sangat titik beratkan solat dan pendidikan, selain memang mendahulukan keluarga dalam segala hal," jelasnya.

Kata Suzan, selama 14 tahun hidup bersama, dia juga belum bersedia kehilangan suaminya kerana arwah disifatkan sebagai suami yang sangat baik.
"Saya cakap kepadanya, 'sayang, banyak lagi benda kita nak buat bersama'. Siapa nak baiki kereta dan potong rumput jika awak tiada? Selama ini, arwah buat segala-galanya untuk saya dan anak-anak. Saya tak dapat bayangkan macam mana hidup tanpa arwah.

"Namun, Allah lebih menyayanginya," ujar Suzan yang sanggup ketepikan malu menubuhkan tabung bantuan Tia Jinbara bagi mencari dana RM250,000 bagi membolehkan pembedahan pemindahan hati dilakukan di India.

"Saya buang malu demi suami. Saya memang memerlukan bantuan segera bagi menjalani pembedahan pemindahan hati secepat mungkin.

"Sebelum buat keputusan ini, saya terlebih dahulu berbincang dengan doktor penyelaras iaitu Dr Mohd Zaqrul Razmal. Dr Mohd Zaqrul beritahu hospital di Malaysia tiada kemudahan untuk pembedahan pemindahan hati dan dan mencadangkannya dilakukan di India.

"Hospital yang dicadangkan ini pakar dalam melakukan pembedahan pemindahan hati dan ada banyak sejarah kejayaan. Jadi, Dr Mohd Zaqrul cadangkan agar kutipan dana dilakukan segera," katanya yang turut memberitahu, tabung bantuan Tia Jinbara sudah dibuka sejak kelmarin.

"Saya terima kira-kira RM3,000 sejak tabung dibuka. Terima kasih kepada pemberi sumbangan, namun apakan daya, hasrat tak kesampaian," tuturnya.

Bagi Suzan, suami adalah pinjaman Allah untuknya. Sebagai isteri, dia akan cuba jaga insan yang Allah pinjamkan ini dengan sebaiknya.

"Jika sudah masa Allah mengambilnya semula, biarlah dipulangkan dalam keadaan sempurna," tambahnya.

Sebelum ini, arwah Tia dimasukkan ke Hospital Shah Alam, Rabu lalu selepas mengadu sakit perut. Selepas menjalani pemeriksaan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan terakhir, CT Scan, doktor mengesahkan Tia menghidap kanser hati.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: