29 November 2023

ANAK-ANAK ARWAH SUHAIMI SAAD - INTEAM JANJI JAGA SILATURRAHIM, AKAN CUBA BANTU



Meskipun Allahyarham Suhaimi Saad sudah tidak bersama Inteam sejak 2005, namun anggota kumpulan tersebut berjanji akan sentiasa menjaga silaturrahim dengan keluarga Allahyarham terutama anak-anaknya.
Kata salah seorang anggotanya iaitu Hazamin Harun, sudah menjadi tanggungjawab mereka sebagai sahabat, malah turut ada menziarah keluarga arwah Suhaimi, selain memberitahu, anak-anak arwah sangat kuat menghadapi ujian tersebut.

Jelas Hazamin lagi, sebelum ini mereka ada membuat kutipan untuk membantu arwah Suhaimi kerana tidak dapat bekerja disebabkan sakit.

"Saya ada menziarahi keluarga arwah selepas dia meninggal dunia tempoh hari. Saya lihat anak-anaknya dan Ina Naim, sangat kuat. Ayah Ina pun maklumkan perkara yang sama, mereka sangat kuat dalam menempuhi fasa baharu ketiadaan Suhaimi di sisi.

Klik untuk gambar besar
"Mungkin mereka sudah dididik oleh arwah sebelum itu atau telah terbiasa dengan keadaan arwah yang diuji sakit sebelum ini. Sebagai sahabat, kami anggota Inteam akan mencuba membantu keperluan anak-anak arwah.

"Sudah menjadi tanggungjawab kami untuk turut sama membantu. Kawan-kawan pun ada yang kirim bantuan menerusi Munsyid Malaysia.

"Sebelum ini pun kami ada lakukan perkara yang sama, buat kutipan duit untuk disumbangkan kepada arwah. Ini kerana empat bulan sebelum itu pun arwah tak dapat bekerja kerana sakit," ujarnya.
Dalam pada itu, Hazamin turut berkongsikan memori terakhir bersama arwah, dimana dia sempat menziarah rakannya itu ketika sakit dan hampir menitiskan air mata melihat keadaan arwah Suhaimi ketika itu.

"Sebelum dia meninggal, saya sempat menziarahinya dan ketika itu dia masih boleh bercakap lagi. Waktu itu berat badannya tak sampai 50kg, hampir menitik air mata saya melihat keadaannya yang kurus kering begitu.

"Masih saya ingat, dia cakap jangan menangis nanti dia menangis juga. Lepas seminggu, saya pergi umrah dan dapat berita dia masuk Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: