11 November 2023
BERJUANG MELAWAN KANSER PAYUDARA - SUAMI & ANAK-ANAK SUMBER KEKUATAN NAS ADILA
"Alhamdulillah, ketulan di payudara sudah mengecut dari lima sentimeter dan hampir hilang. Doktor cadangkan untuk buat rawatan di semua payu dara sebelah kiri untuk pastikan ia tidak merebak kerana hormon saya jenis aktif."
Itulah jelas penyanyi dan pelakon, Nas Adila, yang disahkan menghidap kanser payudara tahap 3, dimana dia memberitahu, ketulan sebanyak lima sentimeter di payudaranya sudah mengecut selepas selesai menjalani kitaran kimoterapi sebanyak enam kali dan pembedahan pada September lalu.
Dalam pada itu, Nas atau nama sebenar Nas Adila Mohd Dan, 37, turut berkata, dia sudah selesai menjalani pembedahan dan melakukan enam kitaran kimoterapi dengan dos ubat yang kuat serta mahal pada Julai tahun ini.
Mengenai rawatan kimoterapi lagi, Nas menambah, memandangkan hormonnya jenis (Hr2) positif, kanser itu boleh datang semula.
"Saya juga perlu menjalani rawatan kitaran kimoterapi sebanyak 17 kali lagi tapi dengan ubat yang tidak sekuat seperti sebelum ini serta radioterapi sebanyak 15 kali. Saya juga sudah memulakan rawatan kitaran kimoterapi sebanyak 17 kali tetapi hanya sebulan sekali.
Klik untuk gambar besar
"Selain itu, saya masih menunggu untuk temujanji rawatan radioterapi sebanyak 15 kali lagi," katanya yang turut berkongsi mengenai kesan kimoterapi, dimana dia tidak boleh bangun, tiada selera makan dan hilang berat badan sebanyak lapan kilogram sebelum ini.
Malah kata Nas lagi, kitaran kimoterapi yang dibuat sebelum pembedahan juga memang memberi kesan pada tubuhnya, selain meluahkan rasa syukur kerana suami dan anak-anak menjadi sumber kekuatannya untuk berjuang melawan kanser terbabit.
"Kitaran kimoterapi sebelum pembedahan membabitkan botol kimoterapi yang keempat hingga keenam itu sangat kuat.
"Selain rambut gugur, saya tidak boleh bangun dan asyik berbaring sahaja. Selama lima hari selepas kimoterapi juga, saya tiada selera makan sehingga hilang berat badan yang banyak.
"Suami banyak memberi sokongan dan menjaga saya sepanjang menjalani rawatan. Selain itu, ahli keluarga dan rakan rapat yang banyak mengambil berat mengenai keadaan diri saya.
"Saya juga sentiasa fikir positif dari semua sudut dan bagi saya ini masanya Allah SWT untuk ampunkan dosa-dosa sebab itu saya mahu kembali sihat untuk banyakkan amalan baik," ujarnya yang menjelaskan, dia masih teruskan karier nyanyian seperti biasa.
"Saya juga masih dapat undangan persembahan untuk majlis makan malam, perkahwinan dan karnival kerana saya juga buat aktiviti zumba dalam acara dijayakan," jelasnya yang juga jurulatih zumba.
Terdahulu, Nas memberitahu, doktor mengesahkan ketulan di payudaranya itu adalah kanser selepas melakukan pemeriksaan pada 1 Mac lalu.
Untuk makluman, Nas mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Alif yang merupakan peserta Akademi Fantasia musim keenam (AF6) itu. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua anak lelaki berusia 7 dan 4 tahun.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment