16 November 2023

JENAZAH SELAMAT DIKEBUMIKAN - INA NAIM MOHON MAAF BAGI PIHAK ARWAH SUHAIMI SAAD : "ARWAH SUAMI PERGI DALAM KEADAAN TENANG DAN MUDAH..."



Isteri kepada bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad iaitu Ina Naim berkata, arwah suaminya itu sudah mula batuk teruk sejak Ogos lalu dan semakin merosot sejak awal Oktober selepas mengalami cirit birit sehingga berat badan susut 20 kilogram (kg).
Jelas Ina Naim atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim, arwah suaminya yang dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak 10 November lalu itu pergi diusia 43 tahun dalam keadaan tenang disisinya bersama anak-anak.

Arwah Suhaimi disahkan meninggal dunia pada 7.40 malam semalam di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Klik untuk gambar besar
"Arwah suami pergi dalam keadaan yang tenang dan mudah, di sisi saya serta semua anak-anak kami. Arwah tidak muntah hanya batuk teruk sejak bulan Ogos dan alami cirit birit. Arwah dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak 10 November lalu.

"Sejak di Hospital Kota Tinggi lagi, arwah minta ditidurkan sebagai ikhtiar terakhirnya. Ketika hidup, arwah suami ada cakap hendak hidup sehingga usia 43 tahun, dan 12 Oktober lalu genap usianya 43 tahun," katanya ketika ditemui media di Jabatan Perubatan Forensik HSI di sini, malam semalam.
Tambah Ina lagi, arwah hanya meninggalkan pesan meminta maaf kepada semua orang seperti yang dimuat naik di laman sosial TikTok miliknya sebelum ditidurkan.

Dalam pada itu, kata Ina, sebagai isteri arwah, pihaknya juga memanjatkan permohonan maaf bagi mewakili arwah suaminya.

"Saya mohon maaf jika suami saya tersilap kata atau ada menyinggung perasaan mana-mana pihak atau termakan, terminum atau terambil apa-apa, saya memohon maaf bagi pihak dia," tuturnya.
Jenazah Suhaimi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felcra Sungai Ara di sini, jam 9 pagi tadi, dimana hampir 200 ahli keluarga, sahabat seperjuangan termasuk anggota nasyid kumpulan In-Team, Hijjaz, Diwani serta orang kampung hadir mengiringi jenazah.

Turut berada menyempurnakan pengebumian arwah ialah anak sulung dan anak keduanya, Ehmad Hadie Elfardie, 15, serta Salman Elkhoyri, 13. Bacaan talkin dan tahlil ringkas dipimpin vokalis kumpulan nasyid Diwani, Hasnol Jamal.

Untuk makluman, Allahyarham Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Salman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: