16 November 2023

HAMIL 6 BULAN - TOM HAMPIR TERJATUH DI PENTAS FAMILI DUO, JANJI AKAN LEBIH BERHATI-HATI



"Saya memang takut ketika itu memandangkan saya juga memakai kasut tumit tinggi lebih lima inci ketika itu. Nasib baik dapat kawal imbangan badan."
Demikian kata penyanyi, Tom, 37, yang berjanji akan lebih berhati-hati ketika membuat persembahan selepas dia hampir terjatuh ketika konsert minggu kelima, program Famili Duo musim (FD3), Ahad lalu.

Dalam pada itu, Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram yang kini hamil enam bulan ini meluahkan rasa syukur kerana dapat mengawal imbangan badannya dari terjatuh di pentas ketika itu.

Klik untuk gambar besar
Bagi menjaga keselamatan kandungannya, Tom yang bergandingan dengan suaminya, penyanyi Fuad Rahman dalam program tersebut memberitahu, selepas ini dia cuba mengurangkan pergerakannya di pentas.

"Kalau menyanyi di pentas, saya memang lupa diri sedang hamil. Memang ada netizen yang kecam kerana saya masih memakai kasut tumit tinggi ketika persembahan sedangkan saya sedang hamil," ujarnya.

Berhubung dirinya mengenakan kasut tumit tinggi ketika persembahan, Tom berkata, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa memakainya kerana bertubuh kecil dengan ketinggian 151 sentimeter.
"Kalau tak pakai kasut tumit tinggi, saya memang akan nampak kecil saja di atas pentas," jelasnya yang juga mohon peminat mendoakan kesihatannya dan kandungan, ketika ditanya sama ada dia mampu bertahan sehingga ke pentas akhir dengan keadaan hamil itu.

"Setakat ini, kesihatan kandungan juga baik dan tiada masalah. Tak apa, cuma empat minit saja persembahan di pentas. Doakan yang baik-baik untuk saya dan kandungan supaya mampu bertahan sehingga ke peringkat akhir FD3 nanti.

"Pada masa sama, saya juga perlu kawal diri supaya tidak buat persembahan yang berlebihan sangat di pentas," tuturnya yang bakal menimang anak perempuan tidak lama selepas dikurniakan tiga anak lelaki sebelum ini.
Sementara itu, Fuad berkata, dia juga risau dengan keselamatan isteri dan bayinya dalam kandungan Tom itu.

"Sebagai suami, saya juga menasihatkan Tom supaya lebih berhati-hati ketika buat persembahan di pentas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Bertemakan Idola dan Legenda, pasangan suami isteri, Tom dan Fuad berjaya meraih tempat ketiga pada konsert minggu kelima FD3, sekali gus meningkatkan kedudukan markah terkumpul mereka yang sebelum ini berada di tangga tiga terbawah.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: