05 November 2023

MASUK HOSPITAL SELEPAS MENGADU SAKIT PERUT - TIA JINBARA DISAHKAN HIDAP BARAH HATI



Bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia atau nama sebenar, Shamsul Bakhtiar Zakaria, 53, telah disahkan menghidap barah hati selepas mengadu sakit perut dan menerima rawatan di Hospital Shah Alam, sejak Rabu lalu.
Berkongsi perkembangan terkini penyanyi itu, isteri merangkap pengurusnya iaitu Suzan Ahmad berkata, Tia yang dimasukkan ke pusat perubatan itu berada dalam keadaan stabil di bawah pemantauan doktor.

"Tia dimasukkan ke hospital Rabu lalu selepas mengadu sakit perut. Sebenarnya, sakit di bahagian perut itu sudah lama tapi abaikan. Disebabkan tak tahan sakit, saya bawa dia ke hospital.

"Selepas menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk ujian imbasan sinar-X, kolonoskopi dan yang terakhir, CT Scan, barulah doktor sahkan ada ketumbuhan pada hati iaitu barah.

Klik untuk gambar besar
"Tia kini stabil dan sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Selayang kerana ada pakar di situ. Mungkin minggu depan baru dapat tahu jenis rawatan bagaimana yang boleh mereka lakukan" kata Suzan yang mendirikan rumah tangga dengan Tia pada Mei 2009.

Sementara itu, ditanya penerimaan Tia yang merupakan bekas peserta program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) itu terhadap berita berkenaan, Suzan memberitahu, suaminya ini sangat kuat.

"Sejujurnya memang susah nak jelaskan pada dia. Suami beritahu saya, dia mahu terus hidup. Saya cakap padanya, selagi ada cara untuk merawatnya, kita akan cuba tak kisahlah dengan apa cara sekali pun.
"Alhamdulillah dia sangat tenang ketika menerima perkhabaran itu. Sebagai isteri, saya kena tunjukkan padanya yang saya juga kuat dan tabah.

"Cuma dia pesan, biarlah proses rawatan penyakitnya dipercepatkan. Difahamkan doktor di sini sudah pun berbincang dengar pakar di Hospital Selayang untuk mempercepatkan proses rawatan," ujarnya dalam nada sebak.

Sehubungan itu, Suzan yang juga bekas wartawan Berita Harian (BH) ini berharap peminat penyanyi yang popular dengan lagu 'Farhana' (Puteri Bumi Kenyalang) itu dapat memanjatkan doa semoga suaminya itu segera sembuh.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: