21 November 2023
SUDAH BERTAHUN TAK SEHALUAN - ISTERI RUSDI RAMLI, SHARON PAUL RASA PERCERAIAN JALAN TERBAIK
"Kami sudah lama tidak sehaluan untuk tempoh yang panjang. Kalau anda perasan kebanyakan acara hiburan yang saya hadiri dia tidak pernah berada di sisi saya.
"Malah ketika berita mengenai rumah tangga saya ini didedahkan, ramai juga yang tak tahu kami adalah pasangan suami isteri. Ia agak menyedihkan dan kalau nak diikutkan saya ini dah lama 'solo'.
"Jika bercerai adalah jalan keluar untuk segala masalah ini, saya sudah tidak akan pertahankannya. Di rumah pun kami hanya berkomunikasi mengenai anak-anak saja.
"Walaupun kami masih tinggal sebumbung tapi masing-masing meneruskan kehidupan di ruang yang berbeza," kata isteri kepada pelakon dan pengarah Rusdi Ramli iaitu komposer, Sharon Paul.
Dedah isteri Rusdi itu, rumah tangganya dengan anak kepada pelakon veteran, Norlia Ghani ini sudah tidak sehaluan sejak beberapa tahun lalu dan percaya perceraian adalah jalan terbaik.
Jelas Sharon, dia bersedia untuk melalui kehidupan solo sekiranya Rusdi memberikan lampu hijau kerana tidak sanggup untuk menanggung masalah itu.
Tambahnya lagi, kerana terlalu sibuk dengan kerja, dia juga tiada masa untuk memikirkan soal hati dan perasaannya.
"Kehidupan saya terlalu sibuk sekarang ini sehingga saya tiada masa nak memikirkan perasaan sendiri.
"Februari tahun depan saya bakal mengadakan konsert, jadi banyak urusan serta perancangan yang perlu saya siapkan segera.
"Jadi, tak mampu saya nak hadap masalah ini semata-mata, biarlah masa menentukan segalanya," katanya.
Sementara itu, usaha menghubungi Rusdi bagi mendapat komen lanjut mengenai masalah rumah tangganya itu tidak berjaya apabila panggilan dan mesej yang dihantar tiada balasan.
Untuk makluman, Rusdi, 53, dan Sharon, 46, berkahwin pada 2008. Mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Reo Ridza, 14, dan Ryan Ridza, 11.
Sebelum mendirikan rumah tangga dengan Sharon, Rusdi turut memiliki anak lelaki, Efiezal Ridza, 33, hasil perkahwinan terdahulu.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment