16 November 2023
TANGGUNGJAWAB AJAR ANAK-ANAK KENAL ALLAH, AL-QURAN, HADIS SELESAI - ANAK SULUNG SUHAIMI SAAD TUNAI PESANAN AYAH, MANDIKAN & SOLATKAN
"Ayah pernah pesan agar anak-anak uruskan jenazahnya. Ayah pesan kalau ayah tak ada nanti mandikan ayah, solatkan ayah. Alhamdulillah, semua itu sudah selesaikan, sudah dilakukan.
"Selain itu, ayah juga minta agar saya dan adik-adik jaga solat dan jangan tinggal mengaji," ujar anak sulung kepada Allahyarham Suhaimi Saad iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15.
Kata Ehmad Hadie, ayahnya sempat berpesan sebelum keadaan kesihatannya semakin merosot pada minggu lalu, dimana ayahnya itu berpesan untuk memandikannya serta solatkan apabila dia sudah tiada suatu hari nanti.
Klik untuk gambar besar
Menerima pemergian bapanya itu sebagai ketentuan Ilahi dan reda dengan apa juga yang berlaku, Ehmad Hadie turut berkongsi, setiap hari bersama ayah merupakan kenangan terbaik dalam hidup.
"Kami semua (adik-beradik) rapat dengan ayah. Hari-hari menjadi kenangan terindah bersama ayah. Ada sahaja benda yang seronok kami buat dengan ayah," tuturnya.
Sementara itu, isteri Allahyarham Suhaimi, Ina Naim pula memberitahu, suaminya pernah berpesan agar anak-anak berpegang teguh kepada suruhan Allah, Al-Quran dan hadis.
Jelas Ina, Allahyarham Suhaimi atau nama penuhnya Mohd Suhaimi Saad, membuat pesanan itu setiap kali berbual ketika sedang sakit di kediaman mereka di Kota Bharu, Kelantan.
"Biasanya kami akan bersembang sekeluarga. Allahyarham ada cakap sudah selesai tanggungjawabnya mengajar kamu (anak-anak) mengenali ALLAH, al-Quran dan hadis. Pegang kuat-kuat (tiga perkara ini)," katanya.
Tambahnya lagi, arwah suami dan anak-anak sempat bermaafan sebelum mereka sekeluarga pulang ke Johor minggu lalu.
"Semasa dalam keadaan Allahyarham sakit, kami telah bermaafan sebelum saya membawa Allahyarham pulang ke Johor. Allahyarham juga pesan suruh anak-anak jaga saya jika ajal menjemputnya, saya juga diminta menjaga anak-anak," jelasnya.
Pagi tadi, jenazah bekas penyanyi kumpulan nasyid In-Team itu selamat dikebumikan di Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment