05 December 2023

ADIRA SUHAIMI FAILKAN CERAI SEBAB TIADA PERSEFAHAMAN - PEGUAM



"Punca Adira memfailkan perceraian adalah kerana tiada lagi persefahaman. Saya tidak boleh kongsikan secara terperinci. Namun, anak guam saya (Datuk Red) tidak bersetuju dengan permohonan yang dibuat kerana ingin menyelamatkan rumah tangga mereka."
Demikian jelas peguam syarie yang mewakili suami kepada Adira Suhaimi, Datuk Red atau nama sebenarnya, Datuk Seri Adnan Abu iaitu Muhammad Akmal Amzan, kepada media, dimana dia memaklumkan punca penyanyi itu memfailkan perceraian buat kali kedua kerana sudah tiada persefahaman antara mereka.

Dalam pada itu, Akmal berkata, anak guamnya, Datuk Red, bagaimanapun tidak bersetuju dengan permohonan yang dibuat isteri keduanya itu dan mahu mempertahankan bahtera rumah tangga dibina.

Menurutnya lagi, susulan wakil anak guamnya itu tidak dapat menghadirkan diri, sebutan kes yang berlangsung semalam di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, Selangor, bagi melantik Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang diperintahkan tidak dapat diteruskan.

"Kami baru dimaklumkan perkara itu. Sebenarnya wakil sudah ada cuma dia tidak dapat hadir sebab ada urusan yang tidak dapat dielakkan," katanya.

Sehubungan itu, Hakim Syarie Abdul Hadi Omar menangguhkan sebutan kes itu pada 18 Disember ini.

Sebelum ini, Adira atau nama penuhnya, Siti Adira Suhaimi, 32, hadir di Mahkamah Syariah Gombak Barat, Rawang, pagi semalam.

Kehadiran ibu kepada empat cahaya mata itu ditemani kakaknya Emma Suhaimi, selaku wakil bagi sesi JKP susulan permohonan perceraian yang dibuat terhadap suaminya pada 25 Oktober lalu.

Permohonan itu diajukan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor bersandarkan Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Tindakan itu sekali gus menjadi permohonan kedua Adira selepas menfailkan tuntutan sama pada 1 April 2019 iaitu ketika hamil anak ketiga mereka.

Untuk makluman, Adira berkahwin dengan Datuk Red, di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 6; Asan, 5; Anggun, 4; dan Ayob yang kini berusia setahun.

Manakala perkahwinan Datuk Red bersama isteri pertama iaitu Datin Seri Sharifah Norshafila Hassim, mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Difahamkan, Datuk Red juga pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun, namun bercerai selepas lima tahun bersama dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: