05 December 2023
"ABANG IBNOR BELUM SEDAR KERANA MASIH DITIDURKAN... HARAP DIA TERUS KUAT" - ISTERI IBNOR RIZA MOHON DOA ORANG RAMAI
"Buat masa ini pihak hospital tak maklumkan apa-apa lagi. Abang Ibnor juga belum sedar kerana masih ditidurkan. Jangkaan bila dia akan sedar pun doktor belum pasti kerana keadaan abang Ibnor sedikit kritikal. Kami kini tunggu tindak balas dari abang Ibnor.
"Harap dia terus kuat," ujar isteri kepada penyanyi Ibnor Riza iaitu Sarimah Sulaiman, 51, yang memaklumkan, dia masih menunggu perkembangan terbaru pihak hospital mengenai keadaan kesihatan suaminya itu.
Kongsi Sarimah lagi, selepas pembedahan, suaminya itu ditempatkan di high-dependency unit (HDU) Hospital Canselor Tunku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Cheras, selepas menjalani pembedahan bagi membuang lebihan air di kepala, pada Sabtu lalu.
Difahamkan, pembedahan yang dijalani Ibnor itu berjaya, namun hingga kini dia masih lagi ditidurkan. Penyanyi berusia 62 tahun itu juga dimaklumkan dalam keadaan baik, tetapi masih perlu dipantau rapi oleh doktor yang merawatnya.
Tambah isteri Ibnor lagi, suaminya juga tidak dibenarkan menerima kunjungan pelawat, termasuk ahli keluarga sendiri kerana dia memang dalam pemantauan sepenuhnya oleh doktor.
Sarimah dalam masa sama turut memohon doa semua yang mengenali dan tahu suaminya itu berjuang menghadapi kanser limfoma tahap empat dihidapinya agar terus kuat serta diberikan keajaiban oleh Allah untuk pulih kembali.
"Pembedahan ini sebenarnya boleh dikatakan berlaku secara tiba-tiba selepas tahap kesihatan suami saya turun secara mendadak dan perlu dibedah segera apabila air di kepalanya juga sudah banyak dan perlu dikeluarkan.
"Kini, saya hanya minta doa daripada orang ramai agar suami diberikan kesembuhan oleh Allah SWT. Terus-terang, saya sedih apabila tengok keadaan suami macam ini sekarang," katanya tidak dapat menahan sebak.
Dalam pada itu, Sarimah menjelaskan, Ibnor yang merupakan penyanyi popular era 1980-an ini sebelum itu mengalami demam berpanjangan sebaik saja selesai menjalani rawatan kemoterapi di HCTM pada awal bulan lalu, selepas dimasukkan ke wad sejak 7 November lalu.
"Selepas buat kemoterapi pada 10 November lalu, suami saya terus demam dan ia berlarutan sampailah sebelum dia menjalani pembedahan, semalam.
"Rawatan kemoterapi itu ada dua sesi, tapi tak dapat diteruskan sebab suami dah mula demam serta turut menyebabkan jangkitan kuman kerana dia pun sudah lama menghidap kanser limfoma dan kuman itu pula merebak ke kepala," tuturnya.
Terdahulu, Ibnor disahkan menghidap kanser limfoma tahap empat pada Mac lalu dan hingga kini difahamkan sudah melakukan kemoterapi sebanyak sembilan pusingan serta berhabis kira-kira RM80,000 bagi membiayai kos rawatan penyakitnya itu.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment