Penyanyi Ayu Damit, 33, baru-baru ini telah membuat persembahan di Majlis Anugerah Media Pembinaan CIDB, yang berlangsung semalam, selepas tiga hari melahirkan anak keempatnya.
Berhubung tindakannya itu, Ayu ketika dihubungi berkata, dia sedar ramai yang bimbang dengan keadaannya.
Jelas penyanyi berkenaan, dia tetap membuat persembahan tersebut kerana sudah berjanji, selain tidak menyangka akan bersalin lebih awal berbanding tarikh jangkaan.
Klik untuk gambar besar
"Persembahan itu sebenarnya sudah diterima lebih awal. Saya juga tidak menjangka akan bersalin awal dari jangkaan. Namun, ini adalah yang terakhir dan saya akan menjalani tempoh berpantang.
"Saya sudah menolak semua tawaran. Memang saya akui ramai yang risau akan keadaan saya, namun saya sudah berjanji.
"Saya kena bertanggungjawab sebab jika mahu batalkan dan cari pengganti, mungkin akan menyusahkan penganjur dan sebab itu saya pergi juga," ujarnya.
Meskipun bersalin Sabtu lalu, Ayu atau nama sebenarnya Norayu Damit, bagaimanapun masih kelihatan lincah ketika menyampaikan tiga lagu bernada tinggi.
Tambah Ayu lagi, suaminya iaitu Syed Fauzi Syed Baharuddin, pada awalnya melarang dia meneruskan persembahan, namun memberi izin selepas melihat dia dalam keadaan baik.
Dalam pada itu, Ayu yang mengimbas kembali pengalaman bersalin sebelum ini, memberitahu, ini bukan kali pertama dia membuat persembahan ketika sedang berpantang, selain meluahkan rasa syukur tiada perkara mudarat berlaku kepada kesihatannya.
"Suami larang bukan hanya sebab saya baru bersalin tetapi kami juga sudah lapan tahun tiada anak kecil, jadi dia agak bimbang.
"Syukur semuanya berjalan lancar. Saya pun cuba untuk tidak terlalu banyak bergerak dan ringkaskan persembahan," kata penyanyi yang popular dengan lagu 'Hanya Di Mercu' itu.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment