21 December 2023

DAKWAAN GANTIKAN AZMANI SEBAGAI VOKALIS IKLIM - SYAFIQ FARHAIN TAMPIL NAFI, INI JELASNYA



"Saya tidak gantikan tempat abang Azmani sebagai vokalis Iklim. Pembabitan saya hanya untuk bekerjasama dalam projek 'featuring' dengan Iklim bagi dua lagu istimewa yang akan dirakam dan dilancarkan tahun depan.
"Tawaran kerjasama ini pun saya dapat kira-kira dua bulan lalu dan ia masih di peringkat awal iaitu susunan lagu. Apapun, ini projek yang istimewa buat saya untuk peminat-peminat Iklim."

Itulah kata penyanyi yang juga pegawai bomba, Syafiq Farhain, 29, yang mengakui dia menjadi vokalis Iklim hanya untuk projek 'featuring' dua lagu baharu bersama kumpulan rock legenda itu yang akan dilancarkan tahun depan.

Jelas Syafiq atau nama sebenarnya, Nursyafiq Farhain A M Salim, dia masih lagi bergerak sebagai penyanyi solo, selain berkata, kemunculannya itu sama sekali bukan bagi menggantikan vokalis Iklim, Azmani.

Sebelum ini, menerusi hantaran pemilik akaun TikTok dikenali Kamarul Ab Rahman, dia telah berkongsi foto Syafiq bersama empat ahli kumpulan Iklim iaitu Mohalim, Umarul, Huzali dan Kama sehingga tular di media sosial.

"Iklim 2023... Umarul (gitar), Huzali (keyboard), Mohalim (ketua/bass), Kama (dram) dan Syafiq (vokalis)," tulisnya ringkas sebagai kapsyen.

Klik untuk gambar besar
Vokalis Iklim iaitu Azmani yang menggantikan posisi arwah bapa Syafiq iaitu Saleem sebelum ini, bagaimanapun didapati tiada di dalam hantaran foto berkenaan yang berlatar belakang lagu Iklim, 'Firasat Kasihku'.

Dalam pada itu, Syafiq turut mengulas juga komen positif netizen yang menyambut baik pembabitannya bersama Iklim, dimana penyanyi ini berkata, dia berterima kasih di atas sokongan dan kata-kata semangat yang diberikan.

"Terima kasih banyak kepada yang sudah menuliskan komen yang baik-baik itu dan ia menjadi pembakar semangat buat saya untuk kerjasama dengan Iklim ini nanti.

"Saya akan cuba buat yang terbaik dalam proses rakaman dua lagu itu kerana menariknya ia tetap mengekalkan air lagu dan identiti asal Iklim yang mungkin dirindui peminat selama ini," tuturnya.

Untuk makluman, Syafiq yamg aktif menyanyi di aplikasi Smule sekitar 2016, pernah popular dengan lagu 'Sayang Maafkan Aku', termasuk meraih gelaran naib juara program Big Stage musim pertama pada 2018 lalu.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: