04 January 2024

AL-FATIHAH - BEKAS PEMAIN KEYBOARD KEMBARA & ILUSI, MD SHAH KEMBALI KE RAHMATULLAH



Kira-kira jam 12 tengah hari semalam, bekas pemain keyboard kumpulan Kembara dan Ilusi iaitu Md Shah Othman, 72, dilaporkan telah meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor.
Difahamkan, Allahyarham Md Shah meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit susulan kanser kelenjar yang dihidapinya.

Bekas vokalis kumpulan Ilusi, Ayai mengakui terkejut dengan pemergian rakan seperjuangannya itu.

"Kami memang sudah lama kenal. Bukan dengan arwah sahaja, malah, seluruh anggota keluarganya. Baru semalam saya mendapat tahu arwah menghidap kanser selepas dimaklumkan seorang teman.

"Saya kemudian hubungi arwah dan memintanya segera mendapatkan rawatan di hospital. Selepas itu, anaknya hubungi saya mengatakan arwah sudah dibawa ke hospital.

"Tiba-tiba, tengah hari tadi saya mendapat perkhabaran arwah sudah tiada. Rasa sangat terkejut kerana segala-galanya berlaku cepat sekali," katanya.

Dalam pada itu, mengulas keperibadian Allahyarham Md Shah sepanjang mengenalinya, Ayai yang juga bekas juara musim pertama Gegar Vaganza (GV1) ini memberitahu, arwah berbakat menyanyi.

"Arwah boleh menyanyi tetapi tidak suka ketengahkan bakatnya itu. Kalau bersama saya, arwah akan menyanyi. Sejak itu saya tahu dia ada bakat menyanyi.

"Dalam kumpulan Ilusi, arwah paling pendiam. Arwah gemar memberi idea dalam pembikinan sesebuah lagu," tuturnya.

Tambah Ayai lagi, jenazah Allahyarham Md Shah dibawa ke Kampung Bendahara selepas selesai urusan mandi dan dikafankan, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Danga.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: