14 January 2024

KAD OKU, BANTUAN - SHAHRIZA MAHMUD BELUM BERSEDIA NAK MOHON : "SAYA FIKIR MUNGKIN ADA ORANG LAIN YANG LEBIH MEMERLUKAN..."



Pelakon Shahriza Mahmud, 58, difahamkan kini masih lagi dalam proses pemulihan akibat dijangkiti kencing tikus kira-kira tiga tahun lalu.
Dalam pada itu, Shahriza berkata, dia pernah disarankan beberapa rakan untuk memohon kad Orang Kelainan Upaya (OKU), termasuk bantuan daripada agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pusat Zakat dan Baitulmal untuk membantu sumber kewangan bulanannya.

"Bila rakan-rakan sarankan perkara itu (memohon kad Orang Kelainan Upaya (OKU), termasuk bantuan), saya selalu berfikir esok saya akan baik, esok akan baik sampailah dah tiga tahun sekarang.

"Saya fikir mungkin ada orang lain yang lebih memerlukan bantuan itu. Saya pun selalu kata pada diri, boleh usaha lagi, boleh usaha lagi.

"Jadi, hasrat nak cuba mohon itu sentiasa tertangguh dan selagi termampu, saya bersama suami berniaga sajalah," kata Shahriza yang turut menjelaskan, sekarang dia dan suami, Saddiq Raffali menjual makanan secara kecil-kecilan di bazar dan ekspo jualan.

"Boleh dikatakan rezeki yang kami dapat daripada hasil berniaga itu cukup-cukup saja. Modal (berniaga) pun tak besar.

"Cuma daripada lebihan kewangan yang ada sedikit-sedikit dapat pusing balik untuk modal, makan minum dan bayar ansuran kereta, itu saja. Umpama kais pagi makan petang," katanya.

Tambah Shahriza lagi, dia pernah bergantung dengan wang simpanan untuk meneruskan kehidupan, selama sakit sejak Januari 2021 lalu.

Pada masa masa, Shahriza turut memberitahu, dia kini perlu terus aktif berniaga di tapak bazar dan platform media sosial untuk mendapatkan pendapatan.

Sementara itu, Shahriza meluahkan rasa gembira dan syukur kerana pengikutnya di media sosial banyak membantu dengan membeli produk makanan yang dijual.

Terdahulu, Shahriza yang aktif berlakon drama Spektra RTM pada 1990-an dijangkiti kencing tikus pada 1 Januari 2021 dan kemudiannya dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya selama seminggu.

Selain itu, Shahriza juga terlantar dan tidak boleh bergerak selama setahun dan dia bergantung pada kerusi roda untuk bergerak dan sekarang sudah boleh berjalan menggunakan tongkat.

Untuk makluman, Shariza berkahwin kali kedua dengan Saddiq yang juga abang penyanyi Ana Rafalli pada 2011, namun mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: