27 January 2024
SELAMAT BERSALIN - SURAYA SURIA FM TIMANG ANAK KEDUA, LELAKI
"Alhamdulillah, proses kelahiran kali ini lebih lancar dan mudah. Saya memang mahu bersalin pada hari Jumaat sama dengan anak yang pertama dan Allah makbulkan.
"Perasaan saya bercampur baur bila kali pertama melihat wajah bayi kerana Allah kurniakan kami sepasang cahaya mata kerana sudah menunggu selama tujuh tahun untuk mendapat anak yang pertama dulu."
Jelas penyampai Suria FM, Suraya Borhan, 41, yang memaklumkan, dia selamat melahirkan anak keduanya di sebuah pusat perubatan di sini pada jam 4.05 petang, semalam.
Menerusi perkongsian itu, Suraya berkata, dia dan suami bersyukur kerana proses kelahiran bayi lelaki seberat 3.2 kilogram secara pembedahan itu berjalan lancar dan dipermudahkan Allah S.W.T.
Tambah Suraya, ketika proses pembedahan, suami tidak dapat menemaninya di wad kerana prosedur pihak hospital.
"Proses pembedahan juga mengambil tempoh lebih kurang 45 minit. Doktor juga baru beritahu, bayi kami ada masalah kuning (jaundis) dan akan ditahan di wad dalam tempoh dua hingga tiga hari.
"Doakan semoga bayi kami cepat sembuh," tuturnya yang turut berkata, kehadiran bayi lelakinya itu melengkapkan kebahagiaan rumah tangganya.
"Semoga dia membesar dengan sihat dan menjadi anak yang soleh serta penyejuk hati kami. Buat masa ini, kami fokus untuk membesarkan kedua anak dulu. Macam dah boleh 'tutup kedai' selepas ini.
"Kehadiran bayi lelaki ini juga sudah melengkapkan kebahagiaan keluarga kecil kami kerana sudah memiliki sepasang anak lelaki dan perempuan," kata Suraya yang sudah memiliki seorang anak perempuan bernama Janna Safya, 4 tahun.
Dalam pada itu, Suraya turut berkongsi mengenai tempoh berpantang dimana dia akan menjalani proses rawatan selepas melahirkan anak keduanya itu di rumahnya sendiri di Kelana Jaya.
"Saya bersyukur kerana pihak majikan di Suria juga memberikan cuti berpantang selama 98 hari bergaji," jelasnya yang mendirikan rumah tangga dengan Mohd Johanif Mohamed Nadzirin pada April 2013.
Sebelum ini, menerusi instastory, Suraya sempat berkongsi video menikmati makan malam sajian 'shellout' bersama rakan penyampai iaitu Sharifah Shahira sebelum dia dimasukkan ke hospital untuk melahirkan anak keduanya itu.
Malah, dia juga sempat menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Asia perlawanan antara Malaysia dan Korea Selatan pada malam khamis.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!
No comments:
Post a Comment