01 March 2024

KINI BERADA DI MADINAH - ALINA HASSAN BERSYUKUR IMPIAN SERTAI UMRAH IKTIKAF RAMADAN TERMAKBUL



"Saya rasa sangat bersyukur dapat datang lagi ke Tanah Suci. Tadi, bila sampai ke Madinah dan tengok Masjid Nabawi, air mata saya mengalir laju. Ya Allah, Alhamdulillah saya dijemput lagi untuk datang ke sini.
"Untuk ke sini, saya keluarkan kos pembayaran kira-kira RM8,000 daripada kewangan sendiri, manakala selebihnya (bayaran) itu ada beberapa 'hamba Allah' yang sudi menaja.

"Saya bersama rombongan seramai 66 jemaah dan dua mutawif serta lima petugas. Pemergian saya di bawah kendalian syarikat Harmony Excellence Holiday dan saya ambil bilik berempat.

"Ramai betul orang di sini (Madinah). Masing-masing mahu beribadat sempena Ramadan nanti. Saya hanya akan balik ke Malaysia pada hari raya kelapan."

Demikian kata penyanyi Alina Hassan, 55, yang bersyukur apabila dapat menunaikan impiannya menyertai program Umrah Iktikaf Ramadan selama 50 hari dengan kos RM13,990.

Ketika dihubungi, Alina memberitahu, dia kini berada di Madinah dan perasaannya amat terharu kerana sekali lagi dapat menjejakkan kaki ke sana.

Terdahulu, menerusi laporan media, juara Sinaran Pasport Kegemilangan 1996 ini memohon jasa baik mana-mana pihak untuk menginfaq kos perbelanjaannya sepanjang berada di Makkah dan Madinah bagi mengerjakan umrah sepanjang Ramadan.

Jelas Alina, dia tidak memaksa sesiapa pun untuk menaja, namun sekiranya ada mana-mana individu atau pihak sudi membantu menunaikan hasratnya itu, dia sangat mengalu-alukannya.

Dalam pada itu, Alina berkata, dia sendiri tidak berdiam diri dan berusaha juga mengumpul wang untuk melaksanakan misi bermakna buatnya itu.

Bagaimanapun, Alina turut mengakui kenyataannya sebelum ini menerima pendapat p0sitif dan sebaliknya daripada netizen yang memberikan pelbagai komen mengenai misi impian umrahnya.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: