22 March 2024

"SUDAH TENTU SEBAGAI ANAK, SAYA RASA GEMBIRA..." - SAZALI P RAMLEE AKUI 22 MAC JADI ANTARA TARIKH YANG SERING DINANTI



"Saya hendak ucap terima kasih kepada orang ramai yang masih ingat dan mengenang jasa arwah Daddy. Sudah tentu sebagai anak, saya rasa gembira setiap kali tiba tarikh (22 Mac) ini.
"Jadi, sebagai anak juga, saya nak ucapkan terima kasih kepada sesiapa sahaja yang memperingatinya. Saya pun tak mampu hendak balas jasa mereka dengan keadaan saya yang susah dan tidak sihat ini.

"Tiada apa yang boleh diucapkan selain terima kasih kerana masih ingat jasa arwah bapa. Saya berharap orang ramai dapat terus berdoa untuk arwah bapa."

Demikian kata anak kepada Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee iaitu Sazali, 65, yang mengakui 22 Mac ini menjadi antara tarikh yang sering dinanti kerana berpeluang melihat sambutan Hari Seniman Negara yang diadakan bersempena hari kelahiran bapanya.

Ujar Sazali, biarpun bapanya sudah lebih 51 tahun meninggal dunia, namun tiada yang lebih menggembirakan hati selain dapat melihat sambutan yang diadakan bagi mengenang jasa bapanya sebagai tokoh legenda seni negara.

Tambahnya lagi, Hari Seniman Negara memberi makna kepada sambutan hari jadi arwah bapa yang digelar 'Daddy' yang sepatutnya berusia 95 tahun jika masih hidup.

Pada 2022, Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu, Tan Sri Annuar Musa mengambil keputusan mengubah tarikh Hari Seniman Negara daripada 29 Mei kepada 22 Mac bagi memperingati kelahiran P Ramlee.

Annuar dilaporkan berkata, signifikan perubahan tarikh sambutan Hari Seniman Negara adalah untuk memperingati jasa dan sumbangan P Ramlee terhadap industri kreatif negara ini.

Katanya, karya P Ramlee bukan sahaja berjaya melahirkan lebih ramai tokoh dan pakar industri kreatif, malah, memperkenalkan Malaysia pada mata dunia.

Allahyarham P Ramlee atau nama sebenar, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Georgetown, Pulau Pinang pada 22 Mac 1929 ketika umat Islam meraikan 1 Syawal.

Beliau berlakon dalam 66 filem dengan 35 judul di bawah arahannya dan mencipta 250 lagu.

Mengulas mengenai rayuan agar tempoh bayaran r0yalti ke atas karya Allahyarham P Ramlee bagi daripada tempoh 50 tahun kepada 70 tahun dilanjutkan, Sazali berkata, beliau masih menunggu jawapan rasmi biarpun tidak meletakkan sebarang harapan tinggi.

"Kalau diikutkan r0yalti sudah tamat pada 29 Mei tahun lalu iaitu bersamaan dengan tarikh pemergiannya. Setakat ini, saya masih belum diberitahu sama ada bakal disambung atau tidak.

"Jadi, saya pun tak tahu bagaimana kesudahannya sebab kalau diikutkan memang sudah tamat tahun lalu selepas genap 50 tahun pemergian arwah. Sekarang ini saya memang sudah tidak dapat apa-apa bayaran r0yalti itu.

"Setakat ini, masih tak ada apa-apa dimaklumkan oleh badan berwajib mengenai perkara ini. Saya juga tak boleh buat apa-apa sebab undang-undang sudah ditetapkan seperti itu.

"Kalau r0yalti disambung, saya gembira, tetapi saya tidak berharap. Saya bersyukur kalau dapat sebab orang lain juga akan gembira.

"Saya tidak berharap untuk dapat kembali, tapi kalau ada rezeki saya bersyukur," tuturnya.

Sepanjang 50 tahun pemergian Allahyarham P Ramlee, r0yalti daripada karya Seniman Agung itu diagihkan kepada waris, iaitu isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma sehingga Biduanita Negara itu meninggal dunia pada 25 April 1983. Keputusan itu dibuat mengikut Akta Hak Cipta 1987.

R0yalti kemudian diagihkan kepada anak mereka, Allahyarham Nasir P Ramlee yang sepakat membahagikan perolehan diterima kepada beberapa waris lain.

Apabila Nasir meninggal dunia pada 23 November 2008, kontrak r0yalti yang diuruskan Badan Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) diteruskan kepada waris lain termasuk Sazali.

         ________________________

JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: