Pada bulan November ini, trio adik-beradik KRU yang terdiri daripada Norman, Edry dan Yusry akan kembali menggegarkan industri seni apabila bakal melancarkan penghasilan album terbaru berjudul 'Kaset'.
Berhubung itu, Edry atau nama penuhnya, Edry Abdul Halim berkata, mereka ingin mencipta sejarah baharu bagi menyambung legasi 30 tahun KRU.
"Kami dah banyak gunakan perkataan 'KRU'. Cara yang kami buat dulu, kami tinggalkan di fasa itu sebab kami tak boleh ubah benda yang berlaku 30 tahun lalu. Kami perlukan sesuatu yang baharu.
"Jadi, apa yang orang sebut dan akan teringat zaman KRU dahulu? Kaset adalah benda terbaik. Jadi, menggunakan judul itu pun, orang dah tahu konsepnya dan apa maksud di sebaliknya.
Klik untuk gambar besar
"Sejarah 30 tahun kami, takkan sentuh dan cakap 'gergasi sudah kembali' dan sebagainya. Jadi, saya rasa kami nak cipta sejarah baharu," ujarnya.
Dalam pada itu, ditanya sama ada album 'Kaset' akan dikeluarkan dalam bentuk kaset, ulas Edry, itu ada dalam perancangan mereka.
"Insya-Allah, kaset akan jadi cenderahati yang bagus. Mungkin anda kena cari alat pemain kaset. Kami akan hasilkan kaset dan CD. Itu semua bernilai.
"Orang menghargai artis apabila mereka membeli hasil karya seni itu. Saya rasa, sayang bila orang sekarang mendengar versi digital sahaja," kata Edry yang turut memberitahu, album dalam bentuk fizikal menjadi satu karya seni bernilai yang akan lebih dihargai peminat.
"Hari ini, mereka dengar di platform digital. Tapi, setahun kemudian, mereka dah hilang 'rasa' memiliki karya itu. Ini adalah bentuk karya seni. Adakah anda mainkan semula 'playlist' yang anda simpan tiga tahun lalu? Saya rasa tak.
"Tapi, dengan adanya album fizikal, anda akan ingat hari anda beli, ketika anda belek-belek cover album itu. Jadi, kami nak suntik semula semangat seni itu ke dalam jiwa peminat," tuturnya.
Album 'Kaset' bakal menampilkan 10 lagu baharu dan setiap single akan dilancarkan setiap bulan bermula November ini.
________________________
JOM LAWAT YOUTUBE KAMI (MYPAPARAZZI) :
KLIK DI SINI..!!

No comments:
Post a Comment